Thursday, March 28, 2013

PDRM Pelawa Suksis Serta PVR

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempelawa Pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) menyertai Polis Sukarelawan Simpanan (PVR).

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pembantu) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Wan Mohammad Wan Abdullah berkata setakat ini 212 anggota Suksis menyertai PVR sejak Januari lalu.

"Kita memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertai PVR kerana golongan Suksis ini telah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kepolisan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Bakti Siswa/Siswi Universi Malaysia Terengganu di Kampung Lingai kelmarin.

Katanya anggota Suksis yang ingin menyertai PVR tidak perlu melalui proses temuduga dan latihan asas seperti individu lain kerana mereka telah menjalani latihan asas kepolisan dan undang-undang di universiti masing-masing.

Beliau turut menggalakkan anggota Suksis menyertai PDRM selepas menamatkan pengajian.

Katanya PDRM menjalankan pemilihan terus di institusi pengajian tinggi dan anggota Suksis mempunyai kelebihan untuk memulakan kerjaya dalam bidang kepolisan.

No comments:

Post a Comment