Anggota Keselamatan Negara membuat sekatan di laluan masuk ke Tanjung Labian,Tanjung Batu dan Kampung Tanduo ketika Ops Daulat, semalam. |
Najib menyatakan demikian dalam Facebooknya ketika pasukan keselamatan negara termasuk dari ATM sedang menjalankan operasi mengesan dan memburu pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Entri Perdana Menteri itu merujuk kepada mesyuarat beliau bersama pesara pegawai-pagawai tertinggi ATM semalam di mana Najib menyifatkan mereka sebagai 'anggota yang berani dengan pelbagai pencapaian ke arah melindungi negara mereka'
Lebih 200 bekas pegawai tinggi kanan ATM menghadiri majlis itu di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, Putrajaya.
"Tugas mereka terletak pada bahu anggota yang tidak kurang berani yang kini berjuang untuk kita di Lahad Datu," katanya. Dalam hal ini, Najib meminta semua rakyat Malaysia menghargai usaha pasukan keselamatan negara dan menyokong mereka dalam apa cara yang boleh.
Sementara itu, dalam tweet terbaru beliau, Najib menggesa rakyat Malaysia untuk berdiri teguh di belakang setiap perjuangan anggota pasukan keselamatan negara.
"Hari yang anda lalui, ingatlah apa yang pasukan keselamatan kita tempuhi. Tunjukkan empati anda dan berdiri teguh di belakang perjuangan mereka.
Mereka memerlukan sokongan anda," katanya. Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan pengganas Sulu pada 5 Mac lepas selepas beberapa rundingan dengan kumpulan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.
Sejak konflik pencerobohan tercetus, seramai lapan anggota polis dan seorang anggota tentera terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas tersebut.
Seorang lagi anggota tentera turut terbunuh dalam kemalangan melibatkan trak tentera yang terbabit dalam Operasi Daulat.
Semalam, Perdana Menteri turut menziarah keluarga Koperal Mohd Azrul Tukiran, yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lepas, di Kampung Rantau Panjang di Klang.
Najib, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada keluarga Allahyarham.
Beliau dan isteri kemudian menghadiri Perhimpunan Barisan Nasional (BN)Pilihan Rakyat di Padang SMK Meru, kira-kira 25 kilometer dari kampung itu.
Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Tukiran Ahamad berkata Perdana Menteri menasihatkan mereka sekeluarga supaya bersabar kerana perkara yang berlaku tidak diduga dan memberi jaminan akan memberikan segala bantuan yang dijanjikan.
Tukiran, yang melahirkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kesudian Perdana Menteri berkunjung ke rumah mereka, turut berkata Najib juga bertanya berkaitan arwah dalam kunjunan singkat itu.
No comments:
Post a Comment