Sunday, March 24, 2013

Terengganu Belanja RM500 Juta Bina Jalan Alternatif Untuk Ke Utara Tanah Air

Kerajaan negeri Terengganu kini giat membina satu lagi jalan alternatif bagi memudahkan rakyat negeri ini melakukan perjalanan ke utara tanah air tidak lama lagi.

Lebih 30,000 penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman Hulu Besut, akan mendapat kemudahan jalan raya yang lebih besar apabila projek pembinaan laluan Keruak ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu siap sepenuhnya pada 2014.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata projek yang menelan belanja kira-kira RM500 juta itu terbahagi kepada tiga fasa utama dengan yang pertama sudah siap 38 peratus dan dijangka dapat diselesaikan pada April depan.

"Bagi fasa pertama, kita memperuntukkan sebanyak RM106 juta bagi menyiapkan laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Kampung Keruak, Hulu Besut dan berakhir di Gunung Bongsu, Hulu Terengganu.

"Projek jalan sejauh 50 kilometer ini akan berakhir di Simpang Pulai, dan kita jangka bila jalan ini telah siap sepenuhnya, akan dapat menjimatkan lagi masa mereka untuk ke Ipoh, Perak," katanya selepas merasmikan projek Jalan Keruak di Hulu Besut ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad.

Pembinaan jalan berkenaan satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional dan hadiah istimewa kepada penduduk daerah Besut.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga akan menyiapkan pelbagai insfrastruktur bagi memajukan lagi jalan itu sekaligus dapat menjana ekonomi di negeri ini.

Ahmad Said berkata selain menjadi laluan ke utara, jalan itu merupakan alternatif kepada rakyat Terengganu, khususnya penduduk sekitar Besut, yang ingin bertandang ke Pulau Bebas Cukai, Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu.

Katanya, pembinaan jalan itu juga dapat menjimatkan masa perjalanan kira-kira 45 minit dari Hulu Besut menghala Tasik Kenyir.


No comments:

Post a Comment