Saturday, March 9, 2013

Terengganu Rancang Jadi Perintis Amalan Kerja Bidang Perubatan Mengikut Syariat Islam

Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mempelopori pelaksanaan amalan kerja dalam bidang perubatan mengikut syariat Islam dalam tempoh empat tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri sangat komited dalam hal yang melibatkan tuntutan fardhu kifayah dan untuk tujuan itu usaha menghantar lebih ramai pelajar perempuan ke beberapa universiti terkemuka dalam bidang perubatan seluruh dunia telah dimulakan.

 "Sehingga kini kira-kira 70 peratus daripada 150 pelajar perubatan yang kita hantar ke luar negara adalah pelajar perempuan dan setelah menamatkan pengajian, mereka akan diambil berkhidmat di hospital swasta milik kerajaan negeri Terengganu seperti Kuala Terengganu Specialist (KTS) dan Kuantan Medical Centre di Pahang dahulu.

"Amalan tata cara kerja dalam bidang perubatan ini mungkin yang pertama di negara ini dan kita berharap akan mempeloporinya demi keselesaan pesakit wanita, khususnya dalam bidang perbidanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pendidikan `Terengganu-Negeri Anjung Ilmu' di Terengganu Equestrian Resort (TER) di  Kuala Terengganu, kelmarin.

Kira-kira 300 pengetua dan guru besar seluruh Terengganu menghadiri program itu yang menerangkan hala tuju pendidikan Terengganu serta rentetan kejayaan yang dicapai sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri menawarkan biasiswa kepada mana-mana doktor anak Terengganu yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang pengkhususan kepakaran perubatan.

"Mungkin ada doktor yang sedang berkhidmat di negeri lain mahu menyambung pelajaran dan kita mahu mereka pulang semula ke Terengganu untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini.

"Mereka boleh memilih kursus dan universiti pilihan untuk menyambung pengajian itu dan biasiswa akan diberi kepada pihak yang mendaftar berdasarkan kuota terawal," katanya

 Antara bidang kritikal dalam perubatan di Terengganu ialah farmasi, pergigian, pembedahan dan perbidanan.

No comments:

Post a Comment