Sunday, March 24, 2013

TPM Minta Pemimpin UMNO Jaga Perpaduan


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, menggariskan empat langkah utama yang perlu dilakukan pemimpin Umno di Terengganu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, mereka perlu menjaga perpaduan sesama mereka dan mengetepikan selisih faham selama ini bagi membulatkan perpaduan di saat genting untuk berdepan dengan parti pembangkang dalam kempen pilihan raya yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.


“Pemimpin Umno perlu berusaha untuk meraih sokongan yang besar dari rakyat bagi memastikan BN menang PRU13,” katanya berucap di majlis pelancaran Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Padang Bola Rhu Rendang, petang kelmarin (Jumaat).

Kira-kira 30,000 orang hadir pada majlis itu yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta pemimpin Umno dan parti-parti komponen BN.

Tan Sri Muhyiddin berkata, pemimpin dan semua ahli Umno perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan berhubung soal pemilihan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti.

“Soal pemilihan calon mengambil masa dan proses yang panjang. Bila pucuk pimpinan pilih calon, beri sokongan 100 peratus,” ujar beliau. Langkah ketiga, kata beliau, pemimpin dan ahli Umno perlu mengelak daripada menimbulkan sebarang masalah di ambang pilihan raya yang bakal tiba ini.

Akhirnya, beliau meminta mereka supaya bertemu dengan semua pengundi dan memberi layanan yang mesra kepada mereka, bertanya khabar dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika semua langkah itu diakukan Umno dan BN tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kuasa mereka di Terengganu pada PRU13.

Katanya, Pas dan parti pembangkang lain tidak ada kekuatan dan rakyat pasti menolak mereka pada pilihan raya kali ini.

Teganukita

No comments:

Post a Comment