Pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik dan menyediakan peluang pekerjaan khusus dalam sektor perindustrian adalah antara janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto yang khusus bagi negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata manifesto itu membayangkan komitmen kerajaan BN sejajar dengan kemampuan dan sumber kewangan kerajaan negeri menyediakan kemudahan kepada rakyat dengan lebih selesa.
"Pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik itu juga dirancang dibina untuk tempoh lima tahun yang dijangka bermula sebaik saja BN Terengganu mendapat mandat baru daripada rakyat pada PRU-13.
"BN Terengganu juga mahu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat secara realistik khususnya mengikut perkembangan dan kemasukan pelabur asing," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat hak milik tanah peneroka Felda Kertih Lima semalam.
Ketika ini kerajaan negeri sudah selesai membina kira-kira 8,000 unit rumah mampu milik daripada 10,000 unit yang dirancang dibina di seluruh negeri membabitkan kos lebih RM1 bilion.
Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, beliau menjangkakan menjelang akhir tahun ini baki 2,000 unit lagi rumah itu akan siap sepenuhnya dan semua kediaman itu diberi harga subsidi.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata sejak tahun 2008 hingga sekarang, 20,000 lot tanah sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.
Katanya, daripada jumlah itu 12,000 lot tanah diluluskan untuk tapak rumah manakala 8,000 lot lagi adalah tanah pertanian.
Beliau berkata pemberian lot tanah ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap permohonan rakyat yang belum mempunyai tanah.
Ahmad berkata, kerajaan BN tidak seperti parti pembangkang yang bercakap 'manis' belaka tetapi sebenarnya tidak begitu.
"Lebih teruk lagi PAS apabila berceramah kerja dia maki hamun dan membuat fitnah terhadap orang UMNO," katanya
No comments:
Post a Comment