Wednesday, April 24, 2013

Imam Madinah Iktiraf Usaha Barisan Nasional - Muhyiddin


Imam Masjid Al-Nabawi di Madinah, Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair mengiktiraf usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di negara ini yang dilihat selari dengan tuntutan agama.

Malah, beliau kagum dengan usaha kerajaan menerusi institusi agama yang mengimarahkan rumah ibadat, khususnya masjid demi mendekatkan umat Islam dengan amal salih.

Pandangan itu disuarakannya kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama pegawai masjid dan surau, ahli jawatankuasa masjid, pendakwah dan pendidik Wilayah Persekutuan, di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju,  semalam.

 Penghormatan kepada negara Muhyiddin berkata, kehadiran Al-Syeikh Solah pada majlis itu penghormatan kepada umat Islam negara ini, sekali gus menggambarkan keprihatinannya dan Kerajaan Arab Saudi terhadap usaha BN meningkatkan syiar Islam yang menjadi teras perpaduan ummah.

Sambil menyatakan rasa bertuah dengan pertemuan itu, Muhyiddin berkata, sebagai parti politik terbesar orang Melayu dan umat Islam, UMNO menjadikan matlamat untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai prinsip perjuangan parti.

Terus istiqamah Alhamdulillah dengan sikap pemimpin negara yang istiqamah mempertahankan kesucian Islam, walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan dugaan termasuk gerakan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan tuntutan kebebasan beragama, kedudukan Islam di negara kita terus terpelihara, katanya dalam ucapan di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukan Islam sebagai agama istimewa yang dianggap nikmat kepada umat Islam di negara ini tidak datang bergolek, sebaliknya hasil perjuangan pemimpin terdahulu.

Sehubungan itu, pendakwah yang berperanan menerusi pelbagai institusi Islam tidak boleh leka kerana cabaran terhadap kedudukan Islam datang dalam pelbagai bentuk termasuk melalui penyelewengan akidah atau kecelaruan pemikiran, sekali gus meruntuhkan akhlak umat Islam.

Institusi pendakwah Kerajaan menyediakan pelbagai institusi bagi membantu pendakwah melaksanakan dakwah dengan lebih sempurna, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam negeri dan Yayasan Dakwah Islam yang bukan saja membiayai, malah menyediakan pelbagai bentuk sokongan.

Bagi menegakkan dan menyebarkan syiar Islam, kerajaan membangunkan institusi pendidikan Islam, bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) negeri, mengambil guru agama berkhidmat dalam kerajaan dan latihan secukupnya dalam pendidikan Islam, katanya.

Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri menyerahkan sumbangan sagu hati Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebanyak RM377,500 kepada 755 imam, bilal, noja dan pendakwah di Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment