Monday, April 1, 2013

Kerajaan Lulus Peruntukan RM28j Untuk PPK Di Seluruh Negara

Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM28 juta untuk disalurkan kepada 272 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada setiap anggota PPK yang tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan seperti peladang yang mengusahakan tanaman kelapa, tanaman kontan serta petani yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran.


"Kita akan agihkan peruntukan RM100,000 kepada setiap PPK dan kita harap pimpinan PPK di seluruh negara apabila dapat bantuan ini hendaklah diagihkan supaya semua anggota PPK dapat bantuan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang dan pelancaran penyampaian 'touch point' peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor di Tanjung Karang, semalam.

Noh berkata, daripada RM28 juta itu, sebanyak RM8 juta akan digunakan untuk pembangunan kor tani yang membabitkan generasi muda petani yang bergiat dalam aktiviti pertanian.

Beliau berkata, dengan adanya peruntukan itu kerajaan akan dapat melahirkan generasi muda yang akan bersama-sama menyumbang dalam kemajuan sektor pertanian di negara ini seterusnya menjana pendapatan tetap mereka.

Mengulas mengenai pembinaan Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Noh berkata bangunan bernilai RM12 juta itu akan menjadi lokasi kursus dan latihan pembangunan modal insan untuk peladang.

Beliau berkata, kerajaan sudah memberi pelbagai bantuan, insentif dan subsidi tetapi jika tiada anjakan paradigma daripada peladang sendiri segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan akan kurang meninggalkan kesan. "Diharap ini akan membantu mewujudkan tranformasi di kalangan peladang.

Kita nak galakkan golongan ini untuk buat perubahan dengan memperbanyak latihan modal insan. Memandangkan kini kita memasuki era pertanian moden kita ingin peladang yang masih amalkan cara lama atau tradisi mengubah cara mereka melalui latihan modal insan," katanya.

No comments:

Post a Comment