Monday, April 29, 2013

KR1M Dapat Sambutan Hangat Penduduk Taman Permai Jaya

Ahmad Said (kiri) meneliti produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Taman Permai Jaya, Kemaman, Terengganu, kelmarin.
 Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Taman Permai Jaya dekat sini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan apa yang dianggap baik bagi membela nasib dan memenuhi keperluan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kewujudan KR1M yang disasarkan sekurang-kurangnya satu bagi setiap Parlimen ternyata mendapat sambutan orang ramai kerana mereka mendapat barangan keperluan dengan harga lebih rendah.

"Kita mahu semua rakyat menikmati kemudahan yang kita sediakan ini kerana di KR1M barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran, sekali gus dapat membantu rakyat yang kurang berkemampuan," katanya selepas perasmian KR1M Taman Permai Jaya di Kemaman, kelmarin.

KR1M Taman Permai Jaya merupakan kedai rakyat ketiga secara rasmi dibuka selepas KR1M pertama di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu diikuti di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai, Dungun.

Ahmad Said berkata, KR1M merupakan bukti keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, sekali gus memberikan keselesaan kepada mereka.

Dalam pada itu, Menteri Besar itu memberitahu, kerajaan juga bercadang menambah dua buah lagi KR1M di negeri itu pada tahun ini dalam memberikan kemudahan kepada masyarakat.

"Dalam tahun ini, dua buah lagi akan diwujudkan iaitu di Marang dan Kuala Nerus. Kita harap semua Parlimen selepas ini akan mempunyai KR1M, malah kemungkinan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini. "Pembukaan akan diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan secara berperingkat sehingga semua kawasan Parlimen mempunyai sekurang-kurangnya sebuah KRIM," katanya.

Menurut beliau, barang-barang yang dibekalkan setanding dengan di pasar raya dan kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti produk dijual.

UM Online

No comments:

Post a Comment