Ahmad Said (dua kiri) mendengar cerita wakil calon Batu Buruk (BN), Che Mat Jusoh mengenai kebakaran rumah yang membabitkan tiga beradik OKU di Kampung Nibong, pagi semalam. |
Kesediaan Menteri Besar meluluskan peruntukan RM55,000 di bawah Tabung Bencana Alam untuk membaikpulih kerosakan rumah berkenaan ternyata melegakan mereka bertiga yang kini menumpang di rumah salah seorang saudara bersebelahan rumah pusaka itu.
Tiga beradik lembam itu ialah Mohd Johari Omar, 41, Mohd Junaidi Omar, 37 dan Mohd Jamaluddin Omar, 26, manakala adik bongsu mereka Munirah 19, juga OKU tinggal bersama seorang lagi saudara mereka Mohd Jamari Omar, 38.
Rumah pusaka dua tingkat berusia 50 tahun itu musnah sama sekali dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira 8.30 pagi pada hari penamaan calon Sabtu lalu.
Mereka berlima menjadi yatim piatu setelah kehilangan ibu tiga tahun lalu manakala bapa meninggal pada 2007 dan rumah pusaka itu merupakan tempat tidur tiga beradik kerana untuk makan dan minum akan ke rumah Mohd Jamari yang tinggal bersebelahan.
Mohd Jamari ketika ditemui berkata, sejak ibu dan bapa meninggal, beliau menjaga makan minum tiga adik serta seorang abang yang kesemuanya OKU dengan penuh reda kerana itu amanah arwah kedua ibu bapanya.
Abang (Johari) dan dua adiknya (Junaidi dan Jmaluddin) mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan manakala Munirah yang tinggal bersamanya dan tidak mendapat apa-apa bantuan setakat ini.
Bapa kepada tiga orang anak itu merupakan kakitangan Percetakan Nasional Berhad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang prihatin terhadap musibah yang menimpa serta menghulur bantuan bagi meringankan beban keluarganya.
“Saya akan baiki segera rumah pusaka itu dengan peruntukan yang diterima dan berharap adik beradiknya kembali ceria selepas ini,” katanya.
Turut mengiringi Menteri Besar dalam kunjungan berkenaan ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk Datuk Che Mat Jusoh. Teganukita
No comments:
Post a Comment