Friday, April 19, 2013

Lebih 800,000 Dapat Kad Diskaun 1Malaysia Untuk Potongan 5-50 Peratus

Najib dan Shahrizat melambai tangan kepada ibu-ibu tunggal yang hadir pada majlis pelancaran dan perhimpunan Juwita di Kuala Lumpur semalam.
Lebih 800,000 ibu tunggal di seluruh negara akan menerima kad diskaun 1Malaysia yang menawarkan potongan lima hingga 50 peratus bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kad diskaun tersebut dikeluarkan kepada ibu tunggal yang berdaftar di bawah Persatuan Ibu Tunggal Malaysia.

“Ibu tunggal yang menerima kad diskaun itu boleh membeli barangan dan perkhidmatan dengan tawaran diskaun antara lima hingga 50 peratus di kedai-kedai terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan perhimpunan Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (Juwita) - Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur semalam.

Seramai 13,000 ibu tunggal pelbagai kaum hadir pada majlis anjuran Wanita BN itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib turut menimbangkan pemberian skim insurans berkelompok ibu tunggal dengan bayaran premium RM12 sebulan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Selaku kerajaan sementara saya tidak boleh buat keputusan tetapi jika menang dalam pilihan raya (PRU-13), kita akan melaksanakannya,” kata beliau.

Skim insurans itu akan menawarkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kematian, RM5,000 untuk khairat kematian, RM10,000 untuk kematian akibat kemalangan dan RM10,000 untuk kurang upaya akibat kemalangan.

Pada majlis itu, Juwita yang merupakan sebuah Sekretariat di bawah Wanita BN turut dilancarkan bertujuan memperjuangkan nasib golongan ibu tunggal.

Najib juga berkata, bagi ibu tunggal yang memerlukan khidmat guaman, kerajaan boleh menyediakan bantuan percuma kepada golongan itu melalui Yayasan Bantuan Guaman Malaysia.

Katanya, daripada seramai 831,890 orang ibu tunggal, Selangor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 125,367 orang.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment