Dua belas pemimpin negeri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) semalam gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan perintah bagi perisytiharan bahawa mesyuarat agung tahunan DPMM yang diadakan pada 2010 adalah tidak sah dan terbatal.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub menolak saman pemula berkenaan dengan kos RM10,000 yang difailkan oleh mereka terhadap tiga pemegang jawatan utama DPMM.
Enam Yang Dipertua (YDP) DPMM negeri, bersama-sama dengan setiausaha kehormat masing-masing, memfailkan saman pemula terhadap Presiden DPMM Datuk Syed Ali Mohamed Al-Attas, Setiausaha Agungnya Hanafee Yusoff dan Bendahari Agung Norsyahrin Hamid Hamidon.
Plaintif ialah YDP Negeri Melaka Datuk Md Ramly Mohamad dan Setiausaha Kehormatnya Jeffryl Norbi, YDP Negeri Sembilan Datuk Ahmad Yusof dan Setiausahanya Rohaizan Mohd Rashid, YDP Negeri Selangor Tan Sri Rozali Ismail dan Setiausahanya Datuk Yusra Sabar, YDP Negeri Terengganu Datuk Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Setiausahanya Ahmad Izani Ab Ghani, YDP Negeri Pahang Tengku Datuk Zulkifly Tengku Ahmad dan Setiausahanya Wan Ahmad Zulaidi Wan Hasan dan YDP Negeri Perak Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah dan Setiausahanya Abdul Razak Mohd Ali.
Dalam saman yang difailkan tahun lepas, mereka memohon perisytiharan bahawa mesyuarat agung tahunan DPMM pada 26 Jun 2010 adalah tidak sah dan batal, dengan mendakwa bahawa pilihan raya dirancang, dengan manipulasi yang dilakukan oleh setiausaha agungnya ketika itu.
Mereka juga memohon perintah mahkamah bagi pilihan raya baru bagi tiga jawatan akan diadakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah itu.
No comments:
Post a Comment