Tuesday, April 2, 2013

Najib Jumpa Pemimpin Parti Komponen BN, PAS Ramal Pru-13 Mei


Di sebalik desas-desus dan spekulasi pembubaran Parlimen dan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menarik perhatian dengan jangkaan semuanya akan berlaku sejurus selepas perdana menteri menghadiri Sidang Kemuncak Asean akhir bulan ini.

Menurut Mustafa, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu hadir sidang kemuncak 24 dan 25 April ini sebagai perdana menteri penuh. "Mengambil kira pembubaran Dun Negeri Sembilan dan SPR kata pilihan raya akan diadakan serentak, jadi pilihan raya akan diadakan tidak lewat daripada 25 atau 26 Mei.

"Paling lewat 27 Mei," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mustafa, pihaknya meramalkan demikian setelah meneliti tarikh-tarikh penting acara rasmi yang perlu dihadiri Najib sebagai perdana menteri di samping mengambil kira pembubaran Dun secara automatik di Negeri Sembilan, bulan lalu.

Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya pada 27 Mac lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya memutuskan PRU13 akan dijalankan secara serentak di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Tempoh itu cukup. Setelah bubar pada 26 atau 27 April, dua minggu selepas itu mungkin umum calon. "Cukup masa iaitu lebih kurang sebulan sebelum pilihan raya yang mungkin diadakan selewat-lewatnya 27 Mei," ujar Mustafa.

Sejak dua minggu ini angin bertiup kencang, Najib akan membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat. Spekulasi mengenainya bertambah kuat minggu lalu apabila Najib dikatakan mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhirnya pada Rabu lalu.

Terbaru difahamkan sudah keluar surat rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri yang meminta semua anggota menteri mengenakan pakaian formal berwarna gelap lengkap bertali leher untuk sesi bergambar yang lazimnya menjadi tradisi pada mesyuarat terakhir setiap penggal.

Semalam, beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya.

Difahamkan ia sebagai lanjutan kepada beberapa pertemuan antara Najib yang juga Pengerusi BN sejak minggu lepas dengan semua pemimpin peringkat negeri bagi membincangkan soal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada sebelah pagi, Najib menemui Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, sebelum beliau mengadakan pertemuan dengan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong).

Kenderaan yang dinaiki Soi Lek dilihat keluar dari situ pada pukul 10.40 pagi, namun usaha untuk mendapatkan komen beliau mengenai pertemuan itu tidak berjaya.

Najib minggu lalu turut mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN negeri, meningkatkan lagi bahang pilihan raya yang semakin hampir.

No comments:

Post a Comment