Tuesday, April 30, 2013

Najib & Muhyiddin JUmpa Rakyat Terengganu Rabu, Khamis


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di sini malam esok bagi memberi semangat kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di negeri ini esok (Rabu) , kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata Najib yang juga Pengerusi BN akan memulakan kempen dengan bersarapan bersama penduduk kampung Bukit Tunggal dan kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian anugerah desa cemerlang peringkat kebangsaan di Kampung Bukit Wan sebelum hadir di program bersama rakyat di Batu Rakit di Kuala Terengganu.

"Perdana Menteri juga akan bertemu dengan pasukan RELA (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) Kuala Terengganu di stadium negeri.

"Sebelum pulang Perdana Menteri akan bertemu dengan masyarakat nelayan di Mengabang Tengah," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan imbuhan kepada 561 pegawai teknologi maklumat (EIO) dan juruteknik komputer (TSO) di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan berada di Terengganu pada Khamis ini menerusi program bersama rakyat di Dungun dan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong di Bukit Payong, Marang.

No comments:

Post a Comment