Saturday, April 27, 2013

Najib - Pendirian Parti Politik Sepatutnya Senada Berhubung Isu Keselamatan Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Dewan Orang Ramai Sungai Bayor.
Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata pendirian parti-parti politik di negara ini sepatutnya senada berhubung isu keselamatan negara termasuk ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna baru-baru ini.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pembangkang berhubung kejadian di kedua-dua daerah itu, Perdana Menteri berkata di negara luar, kesemua parti politik, tidak kira kerajaan atau sebaliknya (pembangkang) mempunyai pendirian yang sama.

"Dalam keadaan negara berdepan ancaman luar, kita dapat lihat dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi yang sudah matang, soal keselamatan tidak dipertikai meskipun pihak dan parti politik dalam negara tersebut bersaing mendapat sokongan rakyat.

"Sebagai contoh, apabila Amerika Syarikat berperang di luar negara, kedua-dua parti politik, Republikan dan Demokrat mempunyai pendirian yang hampir sama. Mereka nyatakan dengan jelas dan terang bahawa keselamatan pasukan tentera hendaklah diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama anggota keselamatan di Markas Briged Utara Hulu Kinta, dekat Ipoh.

Najib berkata berbeza di negara ini apabila pembangkang menganggap kejadian pencerobohan itu sebagai sandiwara dan memperlekeh kewibawaan pasukan keselamatan yang sepatutnya diberi suntikan moral.

"Mereka menidakkan semangat pasukan keselamatan dengan membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab (sedangkan hakikat) yang sebenarnya kita terhutang budi kepada mereka.

"Lebih serius daripada itu ialah persoalan masih belum terjawab apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan sulit yang dilakukan pemimpin mereka (pembangkang) dan orang-orang tertentu yang tidak senang hati dengan kedudukan Sabah yang merdeka dalam Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau membangkitkan perkara itu dan merasai kesedihan balu dan anak wira-wira negara yang terkorban, setiap kali berjumpa dengan mereka.

"Inilah yang menyebabkan saya sukar menerima sikap yang tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh mereka. Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan (warga pasukan keselamatan) untuk membuat penentuan dalam hal ini," katanya.

Lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata menceroboh kawasan pesisir pantai Lahad Datu pada 12 Feb sebelum pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari selatan Filipina itu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan itu gagal.

Lapan anggota polis terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac.

Najib berkata insiden di Lahad Datu dan Semporna merupakan satu kejutan kerana Malaysia tidak pernah berdepan ancaman keselamatan yang begitu serius sejak sekian lama selepas pengganas komunis meletak senjata pada 1989.

Namun, Perdana Menteri berkata dengan kewibawaan pasukan keselamatan, ancaman yang berpotensi membawa kepada keadaan yang sungguh serius dan kemudaratan kepada negara, khususnya rakyat di Sabah, telah dapat dipatahkan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada polis dan tentera atas kejayaan menghapuskan kumpulan yang telah cuba mengganggu-gugat keamanan dan kedaulatan negara.

Najib turut memberi komitmen dan aku janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menaik taraf kemudahan kediaman keluarga anggota keselamatan di Markas Briged Utara Hulu Kinta dalam tempoh terdekat.

Pada majlis itu, Najib turut menyemat pingat kedaulatan negara kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam Operasi Daulat, dan menyerahkan sumbangan Tabung Wira Lahad Datu yang ditubuhkan

Media Prima berjumlah kira-kira RM6 juta kepada balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban serta mereka yang cedera dalam Operasi Daulat.

Perdana Menteri juga turut melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) peringkat negeri Perak

No comments:

Post a Comment