Thursday, April 18, 2013

Nik Aziz Kecewa Akhbar Siarkan Gambar Dia Didukung


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih keletihan terpaksa menggagahkan diri untuk berucap pada program Bicara Cinta Tok Guru di kelmarin.

Pada majlis tersebut yang bermula pada pukul 10.30 pagi, Menteri Besar Kelantan itu memberi ucapan dalam keadaan berdiri kira-kira 22 minit tetapi beliau duduk pada sesi bual bicara yang berlangsung hampir 20 minit.

Bagaimanapun, sekumpulan wartawan yang ingin bertanyakan status kesihatan beliau dan perkembangan terbaharu isu video seks yang didakwa lelaki mirip seorang pemimpin Pas gagal apabila pihak penganjur membatalkan sidang akhbar pada saat-saat akhir.

Nik Abdul Aziz dilihat memberi isyarat tangan tidak mahu sidang akhbar diadakan selepas majlis tersebut.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Nik Abdul Aziz kecewa apabila pihak akhbar semalam melaporkan mengenai kejadian beliau terpaksa didukung namun ucapannya dalam ceramah berkenaan tidak dilaporkan. “Hari ini (semalam) keluar gambar saya diusung, kalau gambar saya bercakap tak keluar pun,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau juga melancarkan buku bertajuk Bicara Ini Demi Ilahi.

Nik Abdul Aziz, 82, kelmarin dilaporkan terpaksa didukung sejauh 100 meter dari tapak ceramah ke Masjid Jamek Parit Besar, Batu Pahat, Johor selepas hampir pengsan kerana mengalami keletihan ekoran kepadatan program sempena Pilihan Raya Umum ke-13 sekitar Johor.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah di Dataran Tok Din yang terletak berhadapan masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment