Thursday, April 25, 2013

Paka Semakin Pesat Membangun, Ramai Jadi Kontraktor


Paka, sebuah kawasan yang asalnya menempatkan sebuah pekan kecil dengan pohon kelapa dan belukar menghiasi sekitar, mula beransur-ansur berubah wajah dengan tempias daripada limpahan perkembangan industri minyak dan gas.

 Kawasan tersebut sedang berkembang sebagai sebuah bandar perindustrian yang dapat menampung keperluan penduduk menerusi peningkatan peluang pekerjaan sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat yang memanfaatkan peluang tersedia.

Penduduknya yang telah mencecah kira-kira 150,000 orang dan umumnya mereka sentiasa mahu meningkatkan taraf kehidupan masing-masing menerusi pelbagai punca rezeki.

Pada tahun 1999 sehingga 2004 ketika Pas menerajui pemerintahan negeri ini, perancangan untuk Paka terbantut, namun usaha itu kembali digerakkan setelah Barisan Nasional (BN) diberi kepercayaan semula oleh rakyat.

Kini Paka merupakan salah sebuah kawasan yang paling pesat berkembang di negeri ini dan penduduk setempat terus digerak agar tidak lagi sekadar menjadi pemerhati kepada ledakan industri. Ini termasuklah melalui proses pembangunan pendidikan dan latihan.

Penduduk Paka telah melalui proses transformasi pembangunan dengan ramai antara mereka telah menjadi usahawan seperti kontraktor selain turut berperanan sebagai warga kerja industri.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka boleh dikatakan terbahagi kepada tiga zon.

Zon pertama melibatkan bandar sehingga ke Kampung Sura Hujung, zon kedua, bermula dari Kampung Durian Mentangau sehingga ke Santong dan zon ketiga membabitkan gugusan Felda.

Pembangunan benar-benar kelihatan rancak bermula 2005 sehingga 2012 apabila kerajaan menyalurkan peruntukan kira-kira RM120 juta bagi membangunkan kawasan berkenaan.

Ini termasuklah pembinaan Pasar Besar Paka yang menelan belanja sejumlah RM5 juta, jambatan (RM94 juta), empat buah masjid (RM18 juta), membina longkang (RM17 juta), membina benteng pemecah ombak (RM2.4 juta) dan sebagainya.

Pemilihan Datuk Matulidi Jusoh sebagai calon BN bagi kerusi DUN Paka menggantikan Mohd. Ariffin Abdullah memberi nafas baharu yang meyakinkan bagi membawa perubahan lebih besar.

Matulidi yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Dungun, memperlihatkan komitmen sebagai seorang wakil rakyat dan 'mendasari' kehidupan masyarakat pastinya akan lebih memberi tumpuan bagi pembelaan nasib penduduk setempat.

"Ini suatu tugas yang harus dipikul sebaik mungkin dan banyak yang boleh terus dilakukan di sini.

"Pada masa yang sama, saya sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan DUN, sudah mengenali begitu dekat permasalahan dan keperluan setempat," ujar bekas pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah itu.

Seorang penduduk, Mahusin Taib, 55, dari Taman Indah Permai amat teruja dengan pembangunan yang begitu pesat di kawasan DUN Paka.

"Pada sekitar tahun 1999 sehingga 2004, pembangunan di Paka amat lesu kerana iklim politik yang dimainkan oleh Pas meskipun mereka memerintah Terengganu agak keterlaluan sehingga tergamak menghalau kanak-kanak serta menutup kelas-kelas tadika.

"Tetapi sejak BN mengambil alih memerintah negeri ini, maka banyaklah pembangunan infrastruktur yang dirancang serta dibina termasuk mengindahkan pusat perniagaan di bandar baru Paka.

"Oleh itu, rakyat harus bersyukur dengan pembangunan yang ada dan saya menyeru kepada penduduk di sini supaya memilih calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," katanya.

Wahid Kasim, 59, dari Tebing Tembah pula memberitahu, semasa pemerintahan Pas, dia tidak melihat sebarang perubahan berlaku di kampungnya atau kawasan sekitar.

"Sekarang saya berpuas hati kerana banyak pembangunan dibuat di Kampung Tebing Tembah antaranya, sekolah menengah dan rendah. "Oleh itu, tiada sebab rakyat perlu memilih calon pembangkang untuk menjadi wakil rakyat kawasan Paka kerana pemerintahan BN terbukti amat baik," katanya.

Ali Mohamad, 60, yang tinggal di Kampung Telaga Mas menyifatkan corak pemerintahan BN amat konsisten dan banyak perubahan dilakukan sehingga Paka suatu ketika dahulu hanya sebuah pekan kecil, tetapi kini bertukar menjadi bandar yang pesat.

 "DUN Paka juga boleh juga dikatakan sebagai kawasan pendidikan kerana terletaknya Universiti Teknologi Mara Terengganu, Sekolah Menengah Teknik Dungun serta Politeknik Sultan Mizan Dungun.

"Saya amat bangga dengan pembangunan yang berada di kawasan DUN Paka dan saya amat berharap agar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan memihak kepada BN," katanya.

UM Online

No comments:

Post a Comment