Thursday, April 18, 2013

Polis Pertingkat Kawalan Di Dua Lokasi Panas Di Terengganu

Polis Terengganu akan mempertingkat kawalan serta rondaan di dua lokasi panas yang sering mencetus insiden kekecohan dan pergaduhan, iaitu Kuala Terengganu dan Marang.

Pegawai Penyelaras pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Kelantan dan Terengganu Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya akan memberi perhatian sepenuhnya di dua lokasi panas itu.

Beliau berkata setakat ini, sejumlah 63 lokasi panas dikenal pasti di negeri ini namun bagi dua kawasan itu, pihaknya akan melakukan pemantauan yang kerap.

"Bagi mengatasi masalah dua kawasan yang dianggap panas ini, kehadiran polis di kawasan terbabit akan dikerapkan bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

"Jika perlu, kita akan meletak pasukan tetap di kawasan Kuala Terengganu dan Marang sepanjang PRU ini," katanya pada sidang akhbar diKuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan dan jurucakap polis kontinjen Terengganu PRU13 Superintenden Koh Ah Tiam.

Noor Rashid berkata pihaknya memberi keyakinan kepada masyarakat di dua lokasi itu agar tidak khuatir dan takut.

"Masyarakat diminta menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa kerana pihak polis sentiasa memantau keadaan di kawasan terbabit. "Polis kontinjen Terengganu juga sudah bersiap sedia dan memberi keyakinan penuh dapat menangani apa jua ketegangan dan kejadian yang berlaku," katanya.

Beliau juga mengingatkan semua parti politik dan penyokong masing-masing agar mematuhi undang-undang dan memohon permit untuk mengadakan ceramah sepanjang tempoh berkempen.

No comments:

Post a Comment