Friday, April 5, 2013

Polis Terengganu Buru Empat Lelaki Lagi Berhubung Kes Tembak


Polis sedang memburu empat lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan di Besut pada 19 Mac lalu.

Mereka ialah Mohd Rosli Mat Hassan, 27, Mohd Hasrul Ab Manaf, 28, yang kedua-duanya dari Pasir Mas, Kelantan; Shaiful Hafiza Said, 27, dari Kampung Bekok, Besut dan Zunaidi Ibrahim, 32, dari Kampung Bukit Payong, juga Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata Khamis, keempat-empat mereka amat dikehendaki bagi mengesan senjata yang digunakan ketika melepaskan dua das tembakan ke atas sebuah rumah di Kampung Pasir Akar.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat tentang suspek menghubungi balai polis terdekat. Sebelum ini empat suspek telah ditahan.

"Kita telah berjaya menahan suspek utama berumur 26 tahun pada 19 Mac lalu di sebuah kedai makan di Jerteh, namun kita tidak menjumpai senjata jenis semi automatik yang digunakan dalam kejadian itu.

"Selepas itu kita memberkas tiga lagi suspek yang berusia antara 25 hingga 48 tahun termasuk bapa mertua kepada suspek utama di sekitar Besut dan Kelantan dari 22 hingga 25 Mac," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Manoharan berkata ketiga-tiga suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Beliau berkata senjata api berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan kini pihaknya sedang berkerjasama dengan polis Kelantan serta pihak imigresen dan kastam berhubung kemasukan senjata larangan itu.

No comments:

Post a Comment