Firdus menunjukkan poster bagi memperingati orang ramai berhubung peraduan gores dan menang di pejabatnya. |
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri berjaya menumpaskan satu sindiket gores dan menang yang dipercayai mendapat keuntungan mencecah RM500,000.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Firdus Zakaria berkata, sindiket itu berjaya menipu 50 mangsa berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun, dan seorang remaja berumur 21 tahun di sekitar Kuala Terengganu terutama kawasan bandar sejak Disember lalu.
“Berdasarkan aduan, sindiket ini menggunakan modus operandi yang hampir sama kepada semua mangsanya.
“Kebanyakan mangsa didekati di kawasan tumpuan ramai khususnya pasar raya, dan didatangi secara berseorangan sebelum memujuk untuk menggores kad yang menyediakan hadiah lumayan, antaranya kereta dan pakej umrah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, menurut Firdus, setelah kad digores, mangsa diajak ke pejabat mereka untuk berbincang mengenai hadiah yang akan diuruskan anggota sindiket lain.
“Dalam sesi perbincangan itu, mangsa ditawarkan hadiah lain sebagai ganti seperti tilam dan perlu membayar hanya RM9,300 sebelum dapat menuntut hadiah berkenaan yang dikatakan bernilai RM20,000,” katanya.
Firdus berkata, kesalahan itu membolehkan pihaknya mengambil tindakan mengikut Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sebelum ini, pihak kami bersama mangsa bertindak pergi ke pejabat tersebut dan meminta supaya mereka memulangkan wang yang diberikan pengadu
Ekoran itu, sesetengah daripada mangsa berjaya mendapatkan semula wang masing-masing, tetapi tidak sepenuhnya menyebabkan PPDNKK bakal bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan ianya dapat diselesaikan segera.
Dalam pada itu, Firdus menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis sindiket gores dan menang, sebaliknya perlu sedar dan berfikir secara wajar sebelum membuat keputusan supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.
SH Online
No comments:
Post a Comment