Perdana Menteri menekan alat kawalan jauh bagi meletupkan bom sebagai simbolik Pelancaran Hari Terbuka ATM di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, semalam. |
Perdana Menteri berkata tindakan pihak tertentu terutamanya parti pembangkang yang memperlekehkan pengorbanan anggota tentera, jelas menunjukkan mereka tidak langsung menghargai apa yang dilakukan pasukan keselamatan selama ini.
“Bahawa hasrat kerajaan perjuangkan dasar transformasi nasional adalah berpaksi kepada keselamatan negara yang dijaga sebaik mungkin.
“Jika tergugat, keadaan negara jadi tidak menentu, pelabur tidak akan melabur, Bursa Saham akan jatuh, perancangan pembangunan tidak mungkin jadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Angkatan Tentera di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Kuantan, semalam.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 30,000 orang itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata sejak operasi terakhir tentera pada penghujung 1989 (menangani ancaman komunis), tentera negara tidak berdepan dengan ancaman yang serius dan rakyat mungkin memandang mudah terhadap aspek keselamatan negara.
“(Keamanan) anggap sesuatu yang semula jadi kerana tarikh terakhir melakukan operasi ketenteraan adalah pada penghujung 1989, sejak itu kita lakukan latihan demi latihan tapi tidak berdepan (ancaman) serius, bila berlaku ancaman Lahad Datu, ianya satu kejutan di kalangan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata tindakan parti pembangkang mempertikai kewibawaan dan menghina pasukan keselamatan ketika berdepan ancaman di Lahad Datu, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.
Beliau berkata tuduhan bahawa apa yang berlaku di Sabah sebagai satu sandiwara dan pertikaikan Majlis Fatwa yang mengatakan perwira terkorban sebagai mati syahid akhirat juga amat dikesali.
“Ini merupakan usaha menjatuhkan moral tentera dan polis,” katanya.
Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia itu, turut diadakan di 32 pangkalan tentera lain, dalam usaha mendekatkan rakyat dengan pasukan keselamatan itu.
Perdana Menteri berkata sokongan padu rakyat terhadap pasukan keselamatan dan anggota keselamatan yang berwibawa menjadi tunjang kepada kejayaan transformasi negara.
Beliau berkata keamanan dan keselamatan negara adalah tunjang dan merupakan tiang seri dalam sesebuah negara untuk mencapai kejayaan.
“Ada dua komponen pastikan keselamatan negara dalam keadaan terbaik iaitu daya kepimpinan dan keberanian anggota keselamatan yang dilengkapi dengan peralatan sebaik mungkin serta sokongan padu rakyat yang berdiri teguh di belakang anggota keselamatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment