Monday, April 15, 2013

Slogan Ubah - PM Nasihat Rakyat Jangan Terpengaruh


Perdana Menteri meluangkan masa meninjau kemudahan TBS di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur semalam.

Kerajaan sedia ada telah terbukti dapat menunaikan segala aspirasi rakyat, termasuk menyediakan pengangkutan awam yang banyak memberikan kemudahan kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Perdana Menteri berkata segala kemudahan yang disediakan kerajaan itu pada mulanya dikutuk oleh pihak tertentu tetapi kini mereka pula mengidamkan untuk memiliki kemudahan tersebut.

Untuk itu, rakyat perlu berfikir secara rasional dan bertanya kepada diri sendiri bagi menentukan nasib masa depan mereka dan negara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, kata beliau ketika merasmikan TBS di Bandar Tasik Selatan semalam.
 "Ada pihak yang tertarik kepada perkataan 'ubah', seolah-olah apa yang penting adalah untuk mengubah daripada apa yang mereka ada pada hari ini, tetapi sebaliknya yang penting bukanlah mengubah yang sedia ada pada hari ini tetapi keberhasilannya.

"Itulah yang patut kita tanya pada diri kita, cuba bayangkan Malaysia tanpa Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), tanpa Putrajaya, tanpa Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan lain-lain kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan selama ini," kata Najib.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

"Ada orang kata bahawa semua kerajaan adalah sama, (tetapi) bukti dan dalilnya adalah sebaliknya, bukan semua kerajaan adalah sama, ada kerajaan yang akan membawa kepada kebaikan dan ada kerajaan yang kurang kemampuan akan membawa kepada kekecewaan," kata Perdana Menteri.

 Najib berkata penubuhan TBS bernilai RM570 juta sebagai hab pengangkutan bersepadu untuk orang ramai itu merupakan satu bukti jelas kejayaan dasar transformasi negara yang dilakukan kerajaan hari ini.

Katanya, ia juga bermatlamat untuk memastikan Malaysia akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 selain mendahulukan kepentingan rakyat.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan keberhasilan dalam menunaikan segala janji kepada rakyat.

 Katanya, langkah yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini merupakan contoh terbaik yang perlu dinilai oleh rakyat dan tiada sebab untuk mereka cuba mengubahnya.

No comments:

Post a Comment