Wednesday, April 3, 2013
Terengganu Belanja RM300 Juta Setahun Untuk Pendidikan - Ahmad Said
Kerajaan Negeri membelanjakan RM300 juta setahun untuk pembangunan pendidikan sebagai pelaburan untuk meraih laba dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, komitmen cukup besar ini bertujuan mengangkat martabat pendidikan dengan melonjakkan pencapaian pelajar dalam semua peperiksaan awam yang kini mula menampakkan hasil.
“Kerajaan menaja pelajar-pelajar cemerlang Silij Peperiksaan Malaysia (SPM) keluar negara untuk mengikuti pengajian di bidang perubatan dan pergigian ke Mesir dan Jordan merupakan satu pelaburan bermakna untuk melihat anak tempatan menguasai bidang kedoktoran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri Encik Zakaria Hussin.
Katanya, dalam tempoh 10 tahun akan datang tidak mustahil akan wujud sebuah hospital khusus untuk wanita yang dirawat oleh semua doktor wanita.
“Saya bercita-cita untuk melihat suatu hari nanti semua pesakit wanita akan menerima rawatan daripada doktor wanita sahaja,” katanya.
Dalam pada itu Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut (kategori SPM) menerima Anugerah Anjung Ilmu Menter Besar Terengganu yang membawa pulng wang tunai RM10,000 beserta sijil penghargaan.
Manakala kategori Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar di berikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling turut menerima RM10,000 dan sijil penghargaan.
Turut menerima Anugerah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Unggul Anjung Ilmu (kategori STPM) ialah PPD Kemaman, PPD Lestari Unggul Ilmu pula dimenangi PPD Marang manakala PPD Kuala Terengganu dan PPD Hulu Terengganu (kategori SPM) masing-masing menerima RM3,000 serta sijil.
Teganukita
No comments:
Post a Comment