Friday, April 12, 2013

Terengganu Sedia RM7.5 Juta Agih Bantuan Kepada 15,000 Mangsa Banjir



Hampir 15,000 keluarga di Terengganu yang menjadi mangsa banjir pada akhir tahun lepas menerima bantuan RM500 setiap keluarga melibatkan peruntukan kira-kira RM7.5 juta.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan yang diagihkan pada Selasa meliputi lebih 4,000 mangsa banjir bagi daerah Kemaman melibatkan peruntukan RM2 juta.

"Kita telah agih kepada seluruh daerah di negeri ini. Cuma ada beberapa keluarga lagi di daerah Air Puteh dekat sini yang masih belum sempat untuk diagihkan dan kita akan bagi kemudian kepada mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir daerah Kemaman Fasa Satu dan Fasa Dua bagi Dun Cukai di Kemaman, kelmarin.

Seorang penerima bantuan Mohd Muhiddin Abdullah, 64, ketika ditemui berkata kerajaan yang ada hari ini sangat prihatin dengan nasib rakyat.

"Kerajaan tahu kesusahan rakyat yang dilanda keperitan hidup, sebab itu diagihkan bantuan. Lagipun kita dapati kerajaan sekarang sangat berkemampuan berikutan keadaan ekonomi yang kukuh," katanya.

Mohd Muhiddin yang tinggal di perumahan Bukit Mentok berkata semasa banjir melanda rumahnya ditenggelami air sedalam satu meter setengah hingga memusnahkan pelbagai barang keperluan seperti perkakas elektrik dan perabot.

"Bantuan yang diberi kita faham ia tidak mampu untuk menggantikan barang yang musnah. Namun ia meringankan sedikit beban kita," katanya yang sebelum ini pernah menerima RM500 bantuan daripada kerajaan pusat.

No comments:

Post a Comment