Tuesday, April 9, 2013

UMT Laksana Program Bahasa Inggeris 'UMTIE' Supaya Graduan Laku Di Pasaran Kerja

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangka program khas memberi penekanan kepada pelajarnya menguasai bahasa Inggeris selari dengan hasrat universiti itu mahu 75 peratus pelajarnya memenuhi pasaran kerja berbanding 62.8 peratus ketika ini.

Ini kerana, berdasarkan laporan 'Graduate Employability Blueprint 2012-2017' (Rangka Tindakan Kebolehpasaran Siswazah) didapati 52 peratus daripada punca utama kegagalan graduan mendapat kerja adalah disebabkan lemah penguasaan bahasa Inggeris.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Profesor Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata program khas 'UMTIE' atau 'U Mind Talking in English' bagi menggalakkan penggunaan bahasa utama dunia itu secara meluas dan berterusan selama tiga tahun dalam pelbagai aktiviti pelajar.

"Projek ini terbahagi kepada tiga program utama iaitu yang pertama program penerapan (EmPro), yang mana setiap pelajar perlu membuat sekurang-kurangnya satu pembentangan dalam bahasa Inggeris untuk setiap kursus akademik yang diikuti.

"Program kedua 'My Talking Partner' (MyTP) dijangka dilaksanakan seawal tahun pertama yang mana para pelajar untuk tempoh setahun digalakkan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan pasangan masing-masing sepanjang mereka berada di kampus," katanya ketika berucap di majlis Gerak Mesra Program Kebolehpasaran Graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Ab Rahim Md Noor. Hadir sama Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Profesor Dr Yahaya Ibrahim.

Noor Azhar berkata pasangan pelajar itu akan ditukar setiap tahun berdasarkan pencapaian mereka dalam hubungan komunikasi (perbualan) bahasa Inggeris.

"Selain itu, bagi program ketiga pula, UMT mewujudkan sudut pidato di sekitar kampus dan kolej kediaman bertujuan memberi keyakinan kepada pelajar berucap bagi meluahkan buah fikiran dalam bahasa Inggeris.

"Penguasaan bahasa Inggeris dengan lebih berkesan hanya tercapai apabila pelajar mempunyai jaringan perhubungan dengan persatuan pelajar dari negara-negara luar," katanya.

No comments:

Post a Comment