Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan menjadi antara 10 universiti terbaik negara, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata sejajar matlamat itu, pihak universiti akan menaik taraf fakulti perubatan untuk dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan perubatan.
"Pusat itu juga akan menjadi pusat penyelidikan perubatan khasnya penyakit-penyakit kronik yang masih lagi yang tidak mempunyai penawar," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya pihak universiti juga telah mendapat tanah seluas 1,000 ekar di Besut untuk fakulti pertanian.
"Terengganu terkenal dengan pertanian dan kita akan membantu petani-petani dengan menyelidik hasil-hasil tanaman yang dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk," katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Reka bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) universiti itu, Dr Imran Abdullah berkata mahasiswa jurusan Diploma Reka Bentuk Perindustrian dan Diploma Teknologi Pembuatan berjaya mereka cipta pelbagai alat keperluan industri.
Katanya kebanyakan mahasiswa terbabit menggunakan kreativiti dengan mengitar semula alat-alat terpakai untuk menghasilkan alat yang baharu dan ada antaranya berpotensi dikomersilkan.
Seorang pereka alat pembakaran lemang yang diberi nama ROTA2013, Wan Nurizzati Wan Awang, 21, berkata alat itu dapat memudahkan proses pembakaran lemang.
"Saya dan rakan saya mencipta inovasi dengan membuat pusingan seperti roda basikal yang berputar untuk proses mengalihkan lemang dalam jumlah yang banyak dalam satu masa," katanya dan menurutnya dia dan rakannya Wan Nur Fasihah Wan Al Jannah, 21, mengambil masa hanya sebulan menghasilkan ciptaan itu dengan bahan terpakai.
Hanum Mustapa, 21, yang mencipta alat pembakaran sampah yang diberi nama 'Disposal Rubbish', berkata ciptaannya membabitkan sampah dapat dibakar di dalam alat itu dan abunya boleh dijadikan baja tanaman.
"Saya mengambil masa selama lima minggu untuk menghasilkan alat ini dan kosnya pula hanya RM150 kerana saya banyak menggunakan bahan terpakai seperti aluminium," katanya dan menurutnya dia mencipta alat itu khusus untuk majlis perbandaran bagi memudahkan proses pembakaran sampah
No comments:
Post a Comment