Friday, April 12, 2013

Wan Azizah Bayangkan Khalid Tidak Kekal MB Selangor


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini membayangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor sekiranya pakatan PKR-DAP-PAS terus mentadbir negeri ini selepas pilihan raya umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata PKR mempunyai beberapa calon berpotensi untuk menyandang jawatan itu, selain Abdul Khalid.

"Tak kisahlah siapa yang akan menjadi MB di Selangor, asalkan dia mempunyai dasar yang baik," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Dr Wan Azizah berkata demikian apabila diminta mengulas kedudukan Abdul Khalid berikutan pengumuman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Abdul Khalid akan hanya mempertahan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Ditanya tentang calon yang berpotensi untuk menyandang jawatan tertinggi di Selangor itu, beliau hanya berkata: "Mereka yang bertanding bagi kerusi negeri di Selangor."

Menurut laporan, Abdul Khalid mungkin tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor berikutan perselisihan pendapat yang dikatakan wujud antara beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

No comments:

Post a Comment