Saturday, April 13, 2013

Zulkifly Mufti Baru Terengganu

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Zulkifly Muda dilantik sebagai Mufti Negeri Terengganu yang baharu, berkuat kuasa 1 April lalu menggantikan Datuk Dr. Alias Abdullah.

Alias, 54, sebelum ini menyandang jawatan itu selama lima tahun sejak 2008 dan kini menjadi Pengarah Institut Al-Quran Terengganu (IQT) manakala Zulkifly dahulunya berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di UMT sejak 2009 hingga 2013.


Ketika dihubungi, Zulkifly, 47, merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya memikul amanah dan tanggungjawab yang besar itu dan berjanji menunaikannya sebaik mungkin.

Katanya, tugas itu terdedah pada dua perkara yang perlu diberi keutamaan iaitu termasuklah apabila berlaku kesilapan, pasti membawa kepada azab yang amat pedih.

"Begitu juga dengan satu lagi perkara, kalau dibuat betul-betul, sudah pasti pahala besar menanti dan insya-Allah, saya akan pikul tanggungjawab ini sedaya upaya," kata anak ketujuh daripada 12 beradik ketika dihubungi semalam.

Zulkifly yang berasal dari Kampung Losong Haji Mamat mempunyai isteri, Prof. Madya Nizaita Omar, seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tiga orang anak.

Semasa berkhidmat di UMT, beliau merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Pembangunan Sosial untuk tiga subjek iaitu Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Asia serta Hubungan Etnik.

No comments:

Post a Comment