Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih masing-masing lima pingat emas dan perak daripada 10 penyertaan pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Mei lepas.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA Prof Dr Amran Ahmed berkata ia merupakan penyertaan kedua UniSZA di pameran ITEX iaitu tahun lepas UniSZA menghantar empat produk dan meraih tiga pingat perak dan satu gangsa.
"Alhamdulillah tahun ini kita berjaya meraih pingat untuk kesemua produk yang dipertandingkan. UniSZA akan berusaha untuk mengetengahkan produk-produk ini ke peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi.
Selain itu, produk 'Exgenoba System' memenangi anugerah khas 'Ram Rais Award' bagi kategori ciptaan terbaik dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
Ia hasil ciptaan tujuh pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat iaitu Azwa Abdul Aziz, Koh Chu Sien, Norlina Udin @ Kamaruddin, Ahmad Nazari Mohd Rose, Irma Shayana Samaden, Julaily Aida Jusoh dan Wan Mohd Rizhan Wan Idris.
Azwa berkata Exgenoba System memudahkan untuk membuat soalan peperiksaan secara automatik menggunakan sistem yang direka khas.
"Kalau dahulu pensyarah dan guru perlu membuat soalan secara manual dan memerlukan masa yang panjang untuk menganalisis soalan terlebih dahulu, tetapi dengan adanya sistem ini masa untuk menyiapkan soalan dapat dijimatkan dan proses untuk membuat soalan lebih teratur
"Produk ini juga dapat meningkatkan kualiti serta mutu kerja untuk membuat soalan peperiksaan akhir di universiti mahupun di sekolah.
Kumpulan itu juga menghasilkan satu sistem untuk menganalisis tahap pencapaian pelajar dan ia dapat membantu untuk menganalisis dan meningkatkan pencapaian pelajar, katanya.
No comments:
Post a Comment