Thursday, May 30, 2013

Aksi Samun Di Tiga Lokasi Dirakam CCTV




Dipercayai terlalu terdesak, seorang lelaki sanggup ‘menjelajah’ tiga daerah dalam tempoh tidak sampai dua jam semata-mata untuk melakukan samun bersenjata di kedai serbaneka 24 jam, kelmarin.

Bagaimanapun, dia hanya mampu memperoleh RM130, hasil samunnya di tiga kedai serbaneka 24 jam di Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 20-an yang dipercayai menaiki sebuah kereta melakukan jenayah samun pertama, kira-kira jam 3.15 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Nibong Stesen, Dungun.

“Semasa tiba di lokasi, suspek terus meluru ke arah pekerja di kaunter sebelum mengacukan sebilah pisau dan meminta menyerahkan semua wang yang ada di dalam mesin.

 “Namun, suspek hanya berjaya menyambar RM100 sahaja kerana kehadiran seorang pelanggan di kedai berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Manoharan berkata, selepas itu dalam tempoh satu jam 15 minit kemudian, suspek menyamun sebuah lagi kedai serbaneka 24 jam di Taman Medan Jaya, Rusila, Marang, kira-kira jam 4.30 pagi.

“Di lokasi kedua, suspek yang memakai pakaian sama semasa melakukan samun sebelum ini cuba untuk membuka mesin wang pertama tetapi tiada wang.

“Bagaimanapun, cubaan untuk membuka mesin wang kedua gagal selepas kehadiran pelanggan sebelum beredar begitu sahaja tanpa sebarang hasil,” katanya.

Jelasnya lagi, menggunakan modus operandi sama iaitu mengacukan pisau yang sama kepada pekerja, dalam tempoh setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 5 pagi, suspek melakukan samun kali ketiga di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud, di Luala Terengganu.

“Suspek hanya berjaya memperoleh RM30 sahaja. "Hasil siasatan awal melalui rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di semua kedai terbabit, suspek adalah orang yang sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan," katanya.

No comments:

Post a Comment