Friday, May 3, 2013

Ambrin Tidak Keluar Kenyataan Hasil Negeri Pembangkang Lebih Baik


Jabatan Audit Negara menafikan Ketuanya Tan Sri Ambrin Buang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa prestasi kutipan hasil negeri yang ditadbir pakatan pembangkang lebih baik berbanding negeri lain.

Jabatan itu dukacita kerana nama dan gambar Ambrin digunakan dalam poster dan laman sosial Facebook sebagai kempen pilihan raya pihak pembangkang.

"Nama dan gambar Ketua Audit Negara telah digunakan dalam poster dan laman sosial Facebook sebagai kempen pilihan raya bagi menimbulkan persepsi masyarakat seolah-olah beliau mengesahkan bahawa prestasi kutipan hasil negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat lebih baik berbanding negeri-negeri lain.

"Dakwaan ini tidak tepat dan mengelirukan jika diteliti fakta-fakta yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011," kata jabatan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Khamis.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, negeri Kedah menunjukkan peningkatan hasil yang paling sedikit iaitu RM20.52 juta, diikuti Negeri Sembilan (RM24.52 juta), Perak (RM27.11 juta), Kelantan (RM47.84 juta) dan Selangor (RM62.50 juta).

Pahang menunjukkan peningkatan hasil sebanyak RM75.33 juta, Sabah (RM167.36 juta), Pulau Pinang (RM192.19 juta), Terengganu (RM419.70 juta) dan Sarawak (RM1.02 bilion).

"Sebagai sebuah jabatan yang berintegriti dan mengamal prinsip keadilan, Ketua Audit Negara sememangnya memberi pujian kepada semua negeri yang menunjukkan prestasi baik dalam pengurusan kewangan dan peningkatan hasil," katanya.

No comments:

Post a Comment