Friday, May 17, 2013

Festivaal Kenyir Promosi Pelancongan Terengganu


Festival Kenyir yang merupakan salah satu usaha mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bermula semalam di Pengkalan Gawi dengan pelbagai tarikan kepada pengunjung.

Program selama lima hari itu dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama kerajaan negeri dan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud.



Wan Mat Amin memberitahu, antara objektif penganjuran ialah untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi pelancongan utama dengan kemudahan dan keindahan alamnya.

"Juga bertujuan memberi maklumat tentang produk pelancongan baru antaranya Kenyir Island Hopping (KIH) dan cadangan Pulau Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada Ogos 2014 dan menjadi platform awal mempromosikan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2014," ujarnya.

Program yang dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik untuk pelbagai peringkat usia dari pukul 10 pagi hingga 11 malam itu, disasarkan mampu menarik sebanyak 35,000 pengunjung.

''Ini termasuklah Karnival Upin dan Ipin, pertunjukan luncur udara, demonstrasi bot kawalan jauh, paint ball, pertandingan melukis dan memasak di samping aktiviti pameran serta jualan.

 "Juga persembahan kesenian, pertunjukan bunga api, pertandingan bot berhias, pameran kereta klasik dan auto show, sukan rakyat, pertandingan bot berhias, memancing pinggir tasik di samping aktiviti lasak seperti motocross akan turut diadakan," ujarnya.

Katanya, pengunjung juga berpeluang meninjau keindahan panorama Tasik Kenyir melalui ruang udara menggunakan helikopter dengan kadar caj RM50 setiap penumpang untuk tempoh masa 10 minit, berbanding harga sebenar RM150.

Bagi pengunjung yang berminat untuk merasai pengalaman meninjau tempat-tempat menarik di Tasik Kenyir, kemudahan bot laju akan disediakan dengan kadar harga yang berpatutan.

Festival dimeriahkan lagi dengan konsert 'Masihkah Kau Ingat' anjuran bersama Radio Klasik dan Nasional FM yang menampilkan artis termasuk Najwa Latif, Azlan Typewriter dan Saleem.

No comments:

Post a Comment