Sunday, May 5, 2013

Gesaan Akhir Najib Sebelum Hari Pengundian


Pentas pilihan raya umum ke-13 sudah tersedia dan Barisan Nasional (BN) membuat gesaan akhir meminta pengundi keluar esok untuk menentukan masa depan negara yang lebih gemilang di bawah gabungan itu. "Ini kali pertama saya menjadi perdana menteri meminta mandat daripada rakyat.

Saya nak teruskan amanah...tugas transformasi belum selesai," kata Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap di Raub ketika dalam perjalanan ke kawasan Parlimen Pekan yang dipertahankannya, Najib berkata BN yang disokong dengan pengalaman 55 tahun mentadbir negara, mempunyai keupayaan untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kira-kira 13.27 juta pemilih berdaftar, satu perlima merupakan pengundi baharu, layak mengundi Ahad. Najib yakin pengundi muda akan menyokong BN dan bersama dengan gabungan itu kerana "mereka tahu hanya BN boleh menjamin masa depan mereka."

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa pengundi daripada semua lapisan masyarakat agar memberi mandat pertama kepada Najib, menyifatkan lima tahun akan datang tempoh yang sangat penting bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju di bawah Wawasan 2020.

 "Saya yakin rakyat mengenali Perdana Menteri dan dasar yang dilaksananya iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang sudah membawa impak besar terhadap negara," katanya selepas majlis ramah mesra dengan masyarakat peneroka di Felda Sri Ledang, Ledang, Johor.

Muhyiddin juga menolak dakwaan media sosial bahawa BN membawa masuk warga asing untuk mengundi dan menganggap perkara itu sebagai perang saraf parti lawan yang sememangnya sudah dijangka oleh BN.

"Rakyat Malaysia yang tak berdaftar sebagai pemilih pun tidak boleh undi.

"Warga asing tidak ada kelayakan dari segi kerakyatan," tegasnya. MCA, parti komponen kedua terbesar dalam BN selepas Umno, menggesa kaum Cina agar menyokong proses transformasi kerajaan.

"Apabila mengundi, saya harap kaum Cina akan menimbang pemimpin yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke landasan yang betul.

"Hakikatnya kita dapat hidup dan bekerja bersama dengan aman, harmoni dan makmur kerana sikap bertoleransi dan saling menghormati yang juga membolehkan kita melakukan transformasi dan proses ini perlu diteruskan," kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebanyak 8,245 pusat mengundi akan dibuka bermula 8 pagi dan keputusan bagi 222 kerusi parlimen serta 505 kerusi dewan undangan negeri dijangka mula diketahui selepas 7 malam.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata 18 pemerhati antarabangsa dari Asia termasuk Sekretariat Asean serta 1,200 pemerhati tempatan daripada 17 badan bukan kerajaan akan memantau proses pilihan raya itu.

No comments:

Post a Comment