Tuesday, May 21, 2013

Jenazah Empat Maut Dalam Kemalangan Di MRR2 Dikebumikan Di Kuala Terengganu


Jenazah sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam dibawa pulang ke Kuala Terengganu  untuk dikebumikan.

Jenazah Hasbullah Abdul Ghani, 26, dan isterinya Nurul Intan Syahida, 22, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Losong Dato Amar manakala jenazah sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22, di Tanah Perkuburan Islam Syed Ibrahim, Taman Alam Bandar di Kuala Terengganu.

Kakak Allahyarham Asma, Hind, 24, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam bagi menuntut jenazah, berkata jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Maghrib.

Katanya ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke ke rumah abang Tengku Ahmad Faiz iaitu Tengku Ahmad Bahrizal di Bukit Antarabangsa untuk makan malam bersama.

Sebelum itu mereka melawat anak saudara mereka yang baru lahir di Hospital Ampang, katanya.

Tengku Ahmad Bahrizal, 39, berkata adiknya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira pukul 5.30 petang memaklumkan mereka dalam perjalanan ke rumahnya.

"Saya menunggu hingga pukul 7 malam, tetapi tidak sampai-sampai, telefon pun tak jawab...tiba-tiba terdengar ada berlaku kekecohan berhampiran rumahnya (akibat satu kemalangan jalan raya).

"Jadi saya rasa tidak sedap hati dan turun untuk melihat, saya dapati kereta yang terlibat kemalangan itu adalah kereta adik saya," katanya dengan sayu.

Kemalangan kira-kira 5.30 petang semalam itu membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal apabila kereta Proton Satria yang turun dari susur keluar Bukit Antarabangsa mengalami kegagalan brek lalu merempuh pembahagi jalan dan melanggar Perodua Viva yang dinaiki empat mangsa.

Penunggang motosikal itu cedera dan dirawat di Hospital Ampang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi berkata pemandu Proton Satria itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi dan dibawa ke balai trafik Ampang untuk disoal siasat.

Lelaki berumur 65 tahun itu itu didapati negatif ujian alkohol dan dadah dan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini, katanya.

No comments:

Post a Comment