Thursday, May 23, 2013

JKR Perlu Siasat Semua Masjid Gunakan Reka Bentuk, Bahan Sama Dengan Masjid Binjai Kertas



“Jika hendak kira ini bukan zaman saya, tetapi saya kena terima kesan daripada runtuhan masjid, runtuhan stesen bas, runtuhan stadium dan sebagainya...Saya  kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008.. JKR perlu memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang."
- Datuk Seri Ahmad Said


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh malam Isnin lepas.

Katanya, kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan bahan yang kurang bermutu.


Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

"Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid di tempat lain," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco pertama penggal ini, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.


Bercakap kepada pemberita, Menteri Besar itu berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku jika JKR melakukan pemantauan ketat terhadap sesebuah projek.

Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh

Ahmad Said yang kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 itu mahu JKR memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang.

 "JKR perlu menyiasat sama ada kejadian itu berpunca akibat kegagalan reka bentuk masjid ataupun penggunaan material bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan...siasatan terhadap pembekal, kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab juga perlu dilakukan dengan rapi.

"Saya juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum Ramadan ini demi keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu," katanya.

Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri sedang menunggu siasatan Unit Forensik JKR berhubung insiden itu, sama ada berpunca dari reka bentuk bangunan tidak selamat atau pembekalan bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Pada hari ini, kita sudah memanggil Pengarah JKR untuk memberi taklimat mengenai runtuhan Masjid Kampung Binjai Kertas yang merupakan masjid kedua (runtuh) selepas Masjid Batu Putih (Kemasek, Kemaman) suatu masa dulu.

“Kita sudah mengarahkan pihak JKR menyiasat masjid yang mempunyai design yang sama, sama ada kerana design yang silap ataupun pembekal yang menyediakan bahan pembinaan ini melakukan kesilapan dan sebagainya kerana kita tahu bahawa beberapa bangunan dan masjid yang dibina menggunakan pembekal yang sama, iaitu pembekal kekuda, Ajiya STI Sdn Bhd, Puchong Selangor, nama pemasang kekudanya, syarikat Bestweld Steel Sdn Bhd, Puchong, Selangor dan jenis kemasan bumbungnya, `double interlocking clay roofing’, Syarikat Golden Clay Industries Sdn Bhd, Yong Peng Johor ,” katanya.

JKR juga diminta mengkaji secara terperinci terhadap masjid yang mempunyai reka bentuk serupa dengan masjid Binjai Kertas berkenaan, sama ada kesilapan reka bentuk atau penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi sebenar.

Menurutnya, pembekal kekuda, Ajiyata STI dikatakan turut pernah berdepan dengan tindakan penggantungan selepas 2008, sementara masjid berkenaan pula dibina sepanjang 2007 hingga 2008, sebelum beliau menjadi Menteri Besar.

“Jika hendak kira ini bukan zaman saya, tetapi saya kena terima kesan daripada runtuhan masjid, runtuhan stesen bas, runtuhan stadium dan sebagainya.

Tetapi kita harap supaya semua bangunan yang menggunakan struktur yang sama supaya disiasat kerana kita takut selepas ini ada lagi berlaku runtuhan dan sebagainya walaupun perkara itu sudah dalam perjanjian jaminan 10 tahun pada kepada material digunakan ini.

“Tetapi tidak tahulah, bila runtuhan ini berlaku kontrakktor akan cuba cari jalanlah untuk lepaskan diri, walaupun dalam syarat 10 tahun jaminan dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mengakui sering menegur dan meminta pihak JKR supaya memantau setiap projek pembangunan lebih kerap dan rapi bagi mengelak kejadian yang sama berulang dan bukannya ke tapak pembinaan hanya untuk menyerahkan projek dan menerima projek yang siap dari syarikat pemaju.

“Kita sudah beritahu (JKR) berulang kali perkara yang sama, JKR ini bawah kuasa JKR Persekutuan sepatutnya tindakan diambillah. Runtuhan pula sering berlaku di Terengganu, itu yang saya pelik.

Atau masa itu (pembinaan) menggunakan dana khas, duit banyak, mudah buat dan cincai sahaja. “Saya menjadi mangsa kerana berlaku di masa saya, sedangkan benda ini dibuat (sebelum ini) sejarah pembuatan ketika itu, duit banyak dan masing-masing mahu projek banyak, nak cepat semua sekali dan ketika itulah tidak ikut spesifikasi dan mungkin JKR ketika itu mengatakan projek terlalu banyak , tidak sempat periksa dan inilah beban yang terpaksa kita kena pikul,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di masjid itu pagi semalam mendapati beberapa kakitangan dari Unit Forensik JKR Kuala Lumpur datang untuk menyiasat punca kejadian di masjid kampung berkenaan.

Teganukita & Bernama

No comments:

Post a Comment