Friday, May 17, 2013

Kabinet Persekutuan Angkat Sumpah Jawatan & Taat Setia



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur,  pagi semalam.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara di Balairong Seri, Istana Negara bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka berdua.






Ia bermula dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.

Upacara mengangkat sumpah jawatan itu turut menyaksikan penampilan beberapa muka baharu dalam barisan Kabinet.

 Mereka ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd. Saddique; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Khairy ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan sekali gus berazam untuk mendekati golongan muda negara bagi memahami hasrat dan aspirasi mereka.

“Saya akan cuba memperbetulkan persepsi golongan muda terhadap kerajaan dan menjadi jurucakap mereka supaya aspirasi dan keutamaan golongan ini dibawa kepada kerajaan,” katanya.

Azizah pula berkata, beliau berazam melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan bersungguh-sungguh.

Bagi Halimah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pembentukan Kabinet baharu ini dilihat memberi lebih pengiktirafan dan penghargaan kepada Ahli-Ahli Parlimen wanita untuk berada di dalam kabinet.

Shahidan yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia membuka buku baharu dan meminta semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment