'Pas, Umno sukar bekerjasama' Sukar bagi Pas bekerjasama dengan Umno tanpa titik pertemuan seperti good governance, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Menurutnya, beliau tidak nampak sebarang usaha mahupun langkah-langkah tertentu meyakinkan diambil oleh kerajaan yang memerintah.
Katanya, dahulu orang melihat Pas sebagai parti alim ulama sedangkan kini dengan adanya pemimpin baru dan muda dalam Pas, parti telah memperjuangkan pentingnya good governance agar negara melangkah jauh ke hadapan.
“Kalangan pemimpin muda Pas nampak bagaimana berlakunya pembaziran, rasuah dan sebagainya dalam kerajaan yang memerintah.
“Pemimpin muda Pas bimbang kalau perkara ini berterusan dan Umno ingin bersatu dengan Pas. Untuk bergabung perlu ada titik pertemuan di mana good governance bukan sahaja dipersetujui, tetapi langkah tertentu yang meyakinkan juga diambil oleh mereka yang memerintah.
“Tetapi kita tidak nampak sebegitu, contohnya pengurusan minyak oleh Petronas dan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, ‘tsunami nilai’ merupakan faktor yang menyumbang kepada Barisan Nasional (BN) hampir terkubur di Terengganu.
Katanya, pengundi sekarang tidak lagi akan memilih wakil rakyat berdasarkan warna kulit sebaliknya akan melihat nilai yang akan dibawa ke dalam Parlimen.
“Terengganu yang penduduknya terdiri daripada 93 peratus orang Melayu termasuk wakil rakyatnya sudah mula bangkit melalui maklumat yang diperolehi melalui saluran-saluran tertentu.
“Kesedaran ini timbul apabila mereka mula menyedari nilai-nilai yang mereka sangat hargai seperti kemiskinan dan rasuah tidak ditangani oleh wakil rakyat mereka,” katanya.
Raja Kamarul berkata, Pas akan terus mempertahankan politik nilai yang dibawa selama ini dan yakin pada PRU14, rakyat akan buat pilihan bijak.
Menjawab persoalan hadirin berhubung sokongan masyarakat Felda terhadap Pas, Raja Kamarul berkata, tidak boleh salahkan mereka sebab adakala mereka tidak mendapat maklumat yang tepat.
“Kerajaan sekarang suka orang Melayu termasuk orang Felda terus bergantung kepada kerajaan. Kalau 1970-an, perkataan berdikari lebih banyak dipraktikkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment