Thursday, May 2, 2013

Kampung Bukit Wan Dan Kampung Jambi Muncul Johan Bersama Anugerah ADC Peringkat Kebangsaan 2012


Buat julung kalinya, Anugerah Desa Cemerlang (ADC) peringkat kebangsaan 2012 telah menyaksikan dua kampung dinobatkan sebagai juara bersama iaitu Kampung Bukit Wan di Kuala Terenggan  dan Kampung Jambi, Johor selepas menewaskan 12 buah kampung lain.

 Anugerah tahunan sejak 1987 itu adalah di bawah anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Kampung Bukit Wan, di Kuala Terengganu.

Dengan kemenangan itu, kampung berkenaan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM225,000, manakala tempat kedua dimenangi Kampung Tanjung Parang, Sarawak yang meraih RM170,000 dan Kampung Bukit Bulat, Melaka di tempat ketiga (RM115,000).

Penilaian kampung yang bertanding berkenaan adalah berdasarkan beberapa kriteria termasuk kepimpinan, pendidikan, kerohanian, ekonomi, kesihatan, teknologi informasi dan komunikasi dan keceriaan.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri KKLW Datuk Hasan Malek, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Sementara itu, Ketua Kampung Jambi, Sarbini Shohod, 58, berkata kejayaan kampung tersebut merupakan kemenangan 1,280 penduduknya. Terletak dalam Parlimen Batu Pahat, kampung tersebut yang majoritinya adalah Melayu berketurunan Jawa menggunakan slogan 'berayan' dalam bahasa Jawa yang bermaksud bersatu dan saling bekerjasama dan bermuafakat dalam menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. 

"Kami mengambil masa tiga tahun setengah untuk mentransformasi kampung ini menjadi kampung tercantik menerusi memenangi peringkat daerah pada 2009 sehinggalah ke tahap ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan Keselamatan Kampung Bukit Wan, Ambak Ismail berkata pihaknya bercadang menubuhkan ladang kelapa sawit dengan menggunakan wang tersebut.

"Hasil daripada ladang itu nanti, insyallah kami mahu tubuhkan koperasi desa bagi menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi yang dapat memberikan manfaat untuk jangka masa panjang," katanya. Katanya sebanyak 70 peratus masyarakat Kampung Bukit Wan itu terdiri daripada petani dan hasil utamanya adalah pertanian selain industri kecil dan sederhana (IKS) seperti membuat makanan tradisional dan kraftangan.

No comments:

Post a Comment