Thursday, May 23, 2013

Lawatan Obama Bukti Malaysia Negara Strategik


Kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini membuktikan Malaysia adalah negara yang mempunyai kepentingan strategik di rantau ini, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Noharuddin Nordin.

Beliau berkata, hubungan antara Malaysia dan AS sentiasa strategik memandangkan ia adalah penyumbang utama kepada pelaburan di negara ini.

“Saya menganggap lawatan Presiden Obama itu sangat penting kerana kita mengetahui bahawa AS tidak akan berbuat sesuatu jika ia tidak mempunyai kepentingan strategik.

“Justeru, lawatan itu boleh dianggap sebagai isyarat beliau memperakui bahawa Malaysia adalah negara yang penting dari segi strategik di Asia Tenggara atau dalam Asia,” katanya.

Presiden AS itu akan menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober.

Ia akan menjadi lawatan pertamanya ke Malaysia.

GES ialah komitmen berterusan Obama bagi menekankan pentingnya keusahawanan di negara majoriti Islam di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment