Wednesday, May 1, 2013

Lebih 200,000 Mengundi Awal

Jasni Abdul Aziz dan isterinya, Wan Norhayati Tuan Ali membuang undi di Kem Seri Pantai, 18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.
Seramai 235,826 anggota keselamatan terdiri daripada anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta isteri masing-masing menjalankan kewajipan sebagai pemilih apabila mengundi awal semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, jumlah tersebut merupakan mereka yang diluluskan SPR sebagai pengundi awal setelah ditolak mereka yang layak mengundi secara pos.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-13, jumlah keseluruhan mereka yang layak mengundi awal adalah sebanyak 272,387. Ini termasuk 21,988 anggota polis dan 14,573 tentera yang layak mengundi secara pos.

"Kesemua 235,826 orang pengundi itu melibatkan seramai 89,148 anggota polis dan 146,678 anggota pasukan tentera serta pasangan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Wardieburn, Setapak dan Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, SPR memaklumkan, sebanyak 544 pusat mengundi dengan 882 saluran mengundi dibuka dari pukul 8 pagi hingga 7 malam bagi tujuan pengundian awal di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz memberitahu, sehingga pukul 10 pagi semalam, seramai 46,068 pengundi awal atau 17 peratus telah pun keluar menunaikan tanggungjawab mereka di semua lokasi ditetapkan.

Katanya, sehingga pukul 11 pagi, peratusan pengundi di Kem Wardieburn sahaja menunjukkan 50 peratus anggota keselamatan dan pasangan mereka telah keluar mengundi.

Sementara itu, anggota keselamatan yang mengundi awal menolak dakwaan pembangkang bahawa mereka diarahkan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Anggota Kor Polis Tentera Diraja Kem Sungai Besi, Lans Korporal Mohd. Johar Naim, 25, berkata, dia teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa dipengaruhi sesiapa.

"Dengan adanya proses pengundian awal, kami dapat merasai suasana mengundi sama dengan orang awam.

"Hari ini (semalam), saya bebas mengundi calon pilihan saya dan ia dapat dilakukan dalam keadaan yang teratur dan selesa," katanya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment