Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan menyuntik pemandu lori dengan dadah sebelum melarikan lori yang membawa barangan lusuh di Felda Cherul, Kemaman 20 Mei lepas.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Cherul 2, pada pukul 5.30 petang Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata sehubungan itu polis kini memburu seorang lagi lelaki yang dikenali dengan nama Ayub berusia dalam lingkungan 30-an dan berasal dari Besut.
"Kami percaya kedua-dua suspek ini terlibat dalam kes samun itu dan siasatan awal terhadap suspek yang ditahan itu mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.
Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, dua lelaki menahan pemandu lori yang berusia 29 tahun dan menyuntiknya dengan dadah dipercayai morfin sehingga khayal sebelum melarikan lori yang membawa muatan besi buruk dan surat khabar lama itu.
Suspek turut menyamun beberapa barangan berharga milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan, katanya dan memberitahu bahawa mangsa diselamatkan oleh pemandu lori lain.
No comments:
Post a Comment