Saturday, May 18, 2013

Liga Super - The Titans Rebah Lagi, Sang Penyu Menang Bergaya Di Ipoh

Pemain T-Team, Mohd Syuhiran (kiri) dan Azrul Hazran berusaha mengekang pergerakan pemain Johor, Andre Francisco (tengah) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam.
Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT) meneruskan rentak kecemerlangan untuk terus mengekori rapat dua pasukan teratas, Lions XII dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Keputusan itu meletakkan pasukan bimbingan Fandi Ahmad kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 31 mata – tiga mata di belakang pendahulu liga, Lions XII.

Di Stadium Perak, Ipoh, Terengganu berjaya membawa pulang tiga mata berharga selepas menumbangkan pasukan tuan rumah, Perak 3-1. Terengganu berada di depan pada minit ke-18 hasil jaringan Abdul Manaf Mamat sebelum Perak menyamakan kedudukan melalui gol penyerang mereka Azlan Ismail.

Hasrat Perak untuk bangkit tidak kesampaian malah pasukan pelawat berjaya menambah dua gol menerusi Fakrulrazi Musa pada minit ke-65 dan jaringan penalti Khairul Ramadhan Zauwawi empat minit sebelum perlawanan tamat.
 
Azamuddin meraikan gol penyamaan bersama penonton ketika menentang Lions XII pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.


Pada perlawanan di Kuala Terengganu, semalam pasukan tuan rumah terlebih dahulu menjaringkan gol apabila pemain tengah T-Team, Badrul Hisyam Morris menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil, Kamal Ahmad apabila bola terkena tangan pemain JDT, Muhamad Nazri Ahmad untuk membolehkan mereka mendahului 1-0 di minit ke 33.

Namun, JDT bangkit untuk menyamakan kedudukan apabila Safee Sali menjaringkan gol pada minit ke-53 sebelum Leonel Nunez meledak gol kemenangan pada minit ke-68 bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.

 Perlawanan seterusnya, JDT akan bertemu Kelantan pada 22 Mei ini di Stadium Larkin manakala T-Team akan menentang Felda United di Stadium Petaling Jaya 23 Mei.

Sementara itu saingan di puncak Liga Super semakin terbuka apabila pendahulu, Lions XII tercicir dua mata selepas diikat 1-1 oleh Pahang di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

 Ketika saingan masuk ke minit-minit akhir, wakil Singapura itu yang hampir membawa pulang tiga mata selepas mendahului 1-0 menerusi gol sepakan percuma kapten, Shahril Ishak, Pahang bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada saat terakhir permainan Azamuddin Akil.

Selepas mendapat gol awal, anak buah V Sundramoorthy sekadar berkampung di kawasan sendiri kecuali Fazrul Nawaz yang menunggu di tengah padang menanti hantaran jauh untuk melakukan serangan balas. 

Pada babak pertama, tuan rumah bermula garang dan hampir membuka jaringan menerusi Azamuddin Mohd Akil tetapi bola berjaya ditepis penjaga gol lawan, Izwan Mahbud seawal minit kelapan. Serangan tajam 

Sebaliknya, tiga minit kemudian, Mohd Shahril meletakkan skuadnya di depan hasil daripada sepakan percuma penyerang dari Singapura itu menewaskan penjaga gol Pahang, Rosfaizul Azuar Ali dan menyaksikan anak buah Dollah Salleh seakan kehilangan rentak buat seketika.

Selepas rehat, Pahang melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Matias Conti di bahagian serangan manakala Khairul Azhan Mohd Khalid diberi tanggungjawab menjaga gawang, masing-masing menggantikan Abdul Malik Mat Ari dan Rosfaizul.

Kehadiran Conti berjaya mengasak pertahanan pelawat ketika Lions XII lebih mengamalkan corak permainan bertahan hingga menyukarkan tuan rumah menyamakan kedudukan.

Kemasukan Fauzi Roslan pada minit-minit terakhir menambah ketajaman asakan Pahang, namun usaha gigih Azamuddin sepanjang 90 minit akhirnya membawa hasil apabila menanduk masuk umpanan Damion Stewart sejurus sebelum tamat permainan.

No comments:

Post a Comment