Saturday, May 18, 2013

LKIM Perlukan RM350 Juta Naik Taraf Pelabuhan Perikanan Chendering

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu memerlukan peruntukan kira-kira RM350 juta untuk menaik taraf kemudahan di Pelabuhan Perikanan Chendering di sini untuk menjadikannya pusat pelabuhan perikanan berdaya maju.

Pengarahnya Mohd Saffe Mohamad berkata LKIM bercadang mahu meneruskan pembinaan tembok pemecah ombak dan mendalamkan perairan di sekitar pelabuhan bagi memastikan keselamatan nelayan terjamin. Katanya sehingga kini 120 bot pelbagai jenis menggunakan kemudahan di pelabuhan itu untuk mendapatkan bekalan minyak diesel dan mendaratkan hasil tangkapan mereka.

"Pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui kerajaan negeri Terengganu beberapa tahun lalu, namun masih belum menerima kata putus sehingga kini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan 1,000 jaket keselamatan oleh Kumpulan AmBank kepada nelayan di Cendering, semalam.

Selain Chendering, Terengganu mempunyai beberapa pelabuhan perikanan lain seperti di Besut, Pulau Kambing, Marang, Dungun dan Kemaman.

Bagi nelayan Dahalan Ali, 68, yang pernah mengalami detik cemas ketika mahu mendaratkan botnya di pelabuhan itu sekitar 1990-an, berpendapat tembok pemecah ombak sangat penting kepada nelayan.

"Jika banyak pasir di sekitar pelabuhan, ini akan mengelirukan nelayan, sekali gus membahayakan mereka dan saya berharap kerajaan akan meluluskan peruntukan kepada LKIM secepat mungkin," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan AmBank Hamdan Abdul Rahman berkata pihaknya memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sejak lima tahun lalu bagi melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kita telah membelanjakan RM500,000 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dan usaha ini akan diteruskan dengan melaksanakan program CSR yang telah dirancang rapi sehingga akhir tahun nanti," katanya.

Program Komuniti AmBank-MyKasih merupakan platform untuk syarikat kewangan itu mendekati dan membantu masyarakat iaitu nelayan, orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.

No comments:

Post a Comment