Wednesday, May 29, 2013

LPT2 - Jangan Biarkan Rakyat, Pembangkang Terus Salahkan MB, Kerajaan BN Negeri...


"Rakyat sudah pasti memegang kata-kata Menteri Kerja Raya kelmarin yang memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, selain kawasan yang bermasalah tidak banyak. Malah kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa dengan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini.”

Masalah Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) yang tidak siap-siap menjadi persoalan kepada sesetengah rakyat selain membebankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri dengan pertanyaan dan komen sinis pembangkang.

Isu ini turut menjadi modal kempen PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13  khususnya calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (kini Ahli Dewan Undangan Negeri) yang meletakkan kegagalan kepada Barisan Nasional (BN) kerana gagal menyempurnakan projek berkenaan.

Lantas Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said segera bingkas menyifatkan kenyataan Dr Syed Azman itu sebagai tidak berasas.

"Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa. Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya.

"Projek itu ada dua pakej iaitu menerusi rundingan terus dan tender, jadi apabila ada kenaikan harga, mereka (kontraktor) tidak mampu buat, dan ada sesetengahnya mereka serah balik, bila serah balik, kira ditender semula. Sekarang ini projek yang dia dakwa itu sedang berjalan, cuma ada kelewatan," katanya selepas melawat Kampung Cina di Kuala Terengganu, 30 April,lalu.

Bagi Ahmad Said kenyataan Dr Syed Azman itu menunjukkan PAS ketandusan idea dengan menggunakan cara lama dengan membangkitkan isu lapuk bagi meraih undi rakyat di Terengganu.


Kelmarin, apa yang disebut Ahmad Said itu disahkan oleh Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Fadillah Yusof apabila mengatakan projek pembinaan LPT2 itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Memanglah rakyat di Pantai Timut meletakkan harapan tinggi kepada projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu.

Bagaimanapun, LPT mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan.

Punca kegagalan diletakkan kepada masalah kenaikan harga barangan pembinaan di PASaran, bukannya keupayaan mereka.

Menghairankan, bagaimana dengan kontraktor yang dapat menyiapkan pakej yang diserahkan kepada mereka. Apakah mereka tidak menghadapi kenaikan harga barangan pembinaan di pasaaran?

Bukan tujuan untuk menyalahkan mana-mana kontraktor tetapi kesan yang diterima Kerajaan Negeri dan orang politik di Terengganu begitu memalukan dan sering pula dimalukan.

Persoalan mengenai masalah LPT2 ini tidak lekang daripada menjadi tumpuan pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri atau DUN Terengganu sejak 2010, termasuk soalan yang dibangkitkan beberapa kali oleh Dr Syed Aman dan ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut.

Malah, dijangkakan pada persidangan DUN pertama selepas PRU13 yang akan diadakan bulan depan, isu ini akan ditimbulkan lagi.

Sudah pasti sekali lagi pemimpin BN akan berdepan soalan dan pertanyaan daripada pembangkang mengenai isu ini.

Mereka dipersalahkan dengan kata-kata kononnya kontrak tidak ditawarkan kepada syarikat yang mampu menyiapkan kerja, ada penyelewengan, cuai dan sebagainya.

Ada kalangan rakyat yang tidak mahu lagi memperkatakan mengenai kebaikan Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu kerana kecewa ia lambat disiapkan dengan alasan yang sesetengahnya boleh dipersoalkan.

Tiga Menteri Kerja Raya sudah bertukar sejak projek ini dimulakan yang dianggarkan dengan kos awal projek RM3.7 bilion dilaporkan turut memerlukan tambahan kos kerana masalah-masalah seperti disebutkan sebelum ini.

Rakyat Terengganu berharap sangat agar LPT2 dapat memendekkan perjalanan mereka yang merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada pada Mac 2006.


Apapun, kelmarin Fadillah memberi jaminan semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur itu dijangka dapat disiap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Kata Menteri berkenaan, sehingga kini, sembilan daripada 16 pakej LPT 2 telah siap.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya tahu rakyat Pantai Timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera dan berharap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja.

Kementerian itu juga mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan. Semalam Menteri berkenaan melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun.

Ini lawatan kerja pertama Anggota Parlimen Petra Jaya Sarawak itu ke Terengganu setelah dilantik Menteri Kerja Raya selePAS pilihan raya umum lePAS. Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman.


Ahmad Said sebelum ini beberapa kali melawat projek berkenaan dan menyatakan perasaan tidak puas hatinya kerana kelambatan itu.

Malah, pada 6 November 2012 lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata berdasarkan taklimat kemajuan LPT Fasa 2 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada akhir Oktober 2012, kelambatan kerana kegagalan kontraktor menyiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Gara-gara itu, dua pakej perlu ditender semula. Dua pakej yang ditender semula membabitkan pakej empat iaitu laluan sepanjang 7.3 kilometer menghubungkan Stesen Penyelidikan Mardi ke Ladang Cherul, Kemaman serta pakej tujuh sepanjang 13.7 kilometer dari Bukit Mempusi ke Felda Kertih 6, Kemaman.

Kerajaan Negeri berharap sebahagian pakej dan jajaran dibuka kepada orang ramai, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan pantai khususnya pada musim perayaan.

Menurutnya dua pakej sepatutnya diserahkan pada November dan Disember tahun lalu, manakala tiga pakej lagi dijangka siap tahun ini.

Kerajaan Negeri sudah meminta LLM dan Jabatan Kerja Raya supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun 2011.

Rakyat sudah pasti memegang kata-kata Menteri Kerja Raya kelmarin yang memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, selain kawasan yang bermasalah tidak banyak.

Ini kerana Menteri berkenaan memberikan suatu bentuk jaminan bahawa “kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa dengan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini.”

Selain itu jaminan lain ialah JKR sudah meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan tumpuan dipercepatkan.

Harapan kita akhir tahun depan LPT2 menjadi kenyataan dan dapat digunakan!

Nota - Sebahagian besar bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Terengganu FM, Selasa 28 Mei 2013 jam 1.30 petang.

No comments:

Post a Comment