Wednesday, May 22, 2013

MB Dijangka Umumkan Rombakan Kecil Portfolio Exco Hari Ini

Imbas kembali...MB bersalaman dengan barisan Exco yang baru dilantik pada majlis angkat sumpah baru-baru ini.
Menteri Besar Besar, Datuk Seri Ahmad Said, dijangka akan mengumumkan rombakan kecil portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)Kerajaan Terengganu hari ini.

Ghazali Taib
Rombakan itu adalah seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional selepas memang Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pagi ini di Wisma Darul Iman yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Ahmad Said berkata kelmarin, rombakan itu mungkin akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

Menteri Besar menjelaskan pihaknya sedang dalam proses pengubahsuaian beberapa portfolio dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu berikutan pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari.

"Kita dalam proses pengubahsuaian (Exco) sebab kita tengok ada 30 kementerian (Kabinet baharu) sedangkan kita ada 10 orang Exco. Jadi ada seorang Exco terpaksa pegang dua atau tiga portfolio," ujarnya.

Menteri Besar juga dijangka tidak akan mewujudkan portfolio baharu khususnya berkaitan agama untuk disandang oleh mana-mana Exco Kerajaan Negeri.

Walaupun didesak pelbagai pihak agar jawatan khusus itu diwujudkan, Ahmad Said dijangka tetap dengan pendirian bahawa urusan berkaitan hal ehwal agama adalah di bawah Tugas-Tugas Khas yang kini disandang oleh Ghazali Taib selaku Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab.

Ghazali yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil merupakan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri.

Ahmad Said menegaskan, langkah yang diambil itu bukan bermakna Kerajaan Negeri sengaja mahu mengetepikan soal agama (dalam portfolio).

Selain itu pada masa sama, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Sultan Terengganu selain Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

 Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru ke-42 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak kelmarin beliau menjelaskan Tugas-Tugas Khas ada hubung kait dengan agama dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

"Saya dah beritahu dulu (pada 11 Mei lalu), kita ada (portfolio agama) di bawah Tugas-Tugas Khas sebab agama diletakkan di bawah Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Pada 11 Mei lalu, Ahmad memberi jaminan bahawa pihaknya berkemungkinan akan melakukan pengubahsuaian pada portfolio berkenaan sebaik sahaja kementerian serta Kabinet baharu kerajaan mula dibentuk.

No comments:

Post a Comment