Monday, May 27, 2013

MTQSS Mampu Bantu Capai Aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Program Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-sekolah (MTQSS) Kementerian Pendidikan dilihat mampu menjadi platform untuk misi mencapai aspirasi yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata satu daripada enam aspirasi itu ialah melahirkan pelajar yang tinggi etika dan kerohaniannya dan ia mampu dibantu dengan program tahunan seperti MTQSS.

Beliau berkata aspirasi ini merupakan sasaran tepat memandangkan pelajar pada zaman ini berdepan pelbagai cabaran yang amat besar berikutan perkembangan teknologi kini.

"Untuk melahirkan pelajar yang tinggi ketaqwaannya, program yang melibatkan keagamaan dan penghayatan al-Quran amat membantu dalam usaha ini," katanya selepas merasmikan penutupan MTQSS Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan kali ke-39 di Kuala Lumpur, malam semalam/

Abd Ghafar berkata kementerian merancang lebih banyak program sedemikian yang melibatkan murid antaranya Festival Nasyid Kebangsaan yang akan diadakan di Kedah Jun ini dan Majlis Khatam al-Quran J-Qaf di Terengganu pada Julai.

Sementara itu, MTQSS bertema 'Al-Quran Penjana Wasatiyyah Ummah' kali ini disertai 240 peserta dari 15 kontinjen sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Ia terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan, bercerita kisah dari al-Quran dan Syarahan Agama diadakan selama tiga hari bermula 24 Mei.

Kontinjen negeri Selangor mengungguli program kali ini apabila dinobat johan keseluruhan diikuti Perak dan ketiga Kelantan.

Bagi kategori keseluruhan sekolah rendah, kontinjen dari Perak diisytihar johan, diikuti Selangor dan ketiga Kedah.

Kontinjen Kelantan diumum johan bagi kategori keseluruhan sekolah menengah, negeri Sembilan naib johan manakala Selangor di tempat ketiga.

No comments:

Post a Comment