Thursday, May 9, 2013

Najib Lantik Berperingkat, Calon MB Tidak Lama Lagi - Ahmad Said


Terengganu bakal mengetahui calon menteri besarnya selepas pada majlis penerimaan watikah pelantikan dalam tempoh terdekat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Said yang dipetik di laman Facebooknya berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan pelantikan secara berperingkat untuk ketua menteri dan menteri besar di negeri-negeri yang dimenangi parti komponen itu.

Menurutnya, masih ada beberapa negeri yang belum dilantik ketua menteri dan menteri besar untuk penggal yang baru ini.

"Memandangkan isu perlantikkan Menteri Besar Terengganu kini menjadi topik hangat, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kedudukan perkara ini.

"Bagi negeri Terengganu saya difahamkan Perdana Menteri selaku Presiden Umno akan mengeluarkan surat watikah dalam masa terdekat dan saya meminta agar semua rakyat negeri ini bersabar," katanya, semalam.

Beliau menambah, kelewatan ini turut berpunca daripada kesibukan Najib dalam menguruskan pelantikan menteri besar dan ketua menteri di negeri yang dikuasai BN.

Sebelum ini sejak 6 Mei lalu, beberapa negeri yang dikuasai telah diberikan watikah pelantikan menteri besar.

Dalam pada itu, Ahmad Said  juga menyeru kepada semua pihak menghentikan segala spekulasi dan khabar angin. Katanya, rakyat Terengganu perlu bersatu hati dan berpadu tenaga demi kesejahteraan negeri Terengganu itu.

No comments:

Post a Comment