Monday, May 13, 2013

Pelajar Cemerlang Bolot 4 Anugerah, Termasuk Anugerah Tokoh Nilam 2013

Anis Raihan (tengah) menunjukkan anugerah yang diterima kepada ibu dan bapanya selepas Majlis Apresiasi Tahunan SHAMS 2013. 
Tokoh Nilam Negeri Terengganu Kategori Sekolah Menengah 2012, Anis Raihan Asmadi, 18, berhasrat menyambung pengajian peringkat A-Level dalam bidang undang-undang di London School of Economic (LSE).

Anak sulung daripada empat beradik itu yang ditemui pada Majlis Apresiasi Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) 2013 nyata teruja dan bersyukur dengan empat anugerah yang diterimanya.

Anis Raihan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 11A+, Anugerah Khas Koperasi 2012 dan Anugerah Tokoh Nilam 2012.


Menurutnya, antara resipi kejayaannya adalah memahami dengan jelas apa yang dipelajari, rajin mengulang kaji pelajaran dan terus merujuk kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu pelajaran

Selain itu, Anis Raihan yang bercita-cita mahu menjadi peguam berkata, kekuatan dan tunjang utamanya untuk terus kekal cemerlang dalam pelajaran ialah mengamalkan solat Hajat dan solat Taubat. 

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT ini dan akan terus berusaha untuk mencapai cita-cita saya menjadi peguam.

“Saya memilih bidang guaman kerana cenderung dan minat. Saya juga pernah menyertai pidato peringkat daerah dan berjaya menjadi pendebat terbaik.

Selain itu, kerjaya bapa sebagai peguam turut menjadi aspirasi dan pembakar semangat buat saya,” katanya. 

Anis Raihan turut ditemani ibunya yang bekerja sebagai usahawan hiasan dalaman, Ratna Nainy, 45, dan bapanya, Aswadi Awang, 47, pada majlis berkenaan.

SH Online

No comments:

Post a Comment