Friday, May 31, 2013

Pertindihan Kerusi, Tidak Perlu Kritik Hadi


Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menyelar tindakan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin yang mengkritik pucuk pimpinan Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Kongres PKR, baru-baru ini.

Menyifatkan tindakan Shamsul Iskandar yang menyalahkan Abdul Hadi sebagai tidak wajar, Abu Bakar berkata bahawa isu pertindihan kerusi tidak perlu diungkit kerana keputusan itu telah difikirkan secara bersama.

“Apa yang diputuskan patut diterima dan tidak perlu kritikan yang boleh memberi unsur negatif kepada pakatan.

“Apa yang telah difikirkan adalah yang terbaik bagi menangani masalah yang timbul. Saya dimaklumkan bahawa sudah ada perbincangan sebelum ini tetapi itu persepsi masing-masing, jadi terpulang kepada dialah,” katanya kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu.

Dalam ucapan dasarnya itu, Shamsul Iskandar secara lantang menegur pimpinan Pas terutama Abdul Hadi yang dianggap punca PR kalah di kerusi yang terlibat dengan isu pertindihan calon.

Secara keseluruhan, PR kalah di semua tujuh kerusi berkenaan iaitu tiga di Terengganu dan masing-masing satu di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Wilayah Persekutuan.

 Kenyataan Shamsul Iskandar turut dibidas pemimpin Pemuda Pas sehingga diingatkan untuk tidak sesekali berlagak hero dengan mengkritik Abdul Hadi. Abu Bakar berkata, perkara yang telah diputuskan pucuk pimpinan tidak perlu diungkit.

"Memang sukar memuaskan hati semua pihak. “Apa yang telah diputuskan tidak perlu dipertikai. Kalaulah ia menyalahi prinsip, boleh buat teguran atau nilaian semula,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pemimpin sayap peringkat pemuda, Shamsul Iskandar sepatutnya lebih fokus terutama bagi memastikan negeri dipimpin PR memenuhi janji sebagaimana yang telah dibuat dalam manifesto PRU13 lalu.

Jelasnya, walaupun PR tidak berjaya memenangi peringkat Pusat namun di peringkat negeri, janji perlu dibuat untuk memastikan sokongan rakyat terus bersama.

“Kita fokuslah apa yang telah dibuat dalam manifesto untuk dilaksanakan terutama di negeri yang kita perintah. Bagi negeri yang berjaya kita kuasai, kita laksanakanlah janji setakat mana bidang kuasa yang ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment