Friday, May 10, 2013
PPNT Melabur RM1 Juta Untuk Projek Tanaman Vitato
Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dijangka melabur lebih RM1 juta untuk mengusahakan projek tanaman ubi vitato di atas tanah seluas 33.5 hektar secara berperingkat-peringkat di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ru Tapai, Setiu.
Pengurus Besarnya, Sawalludin Ahmad berkata PPNT akan memulakan projek itu bulan depan dengan membangunkan dahulu tanah seluas 10 hektar yang membabitkan modal RM300,000.
"Ini bermakna PPNT akan membelanjakan RM30,000 untuk membangunkan setiap hektar kawasan tersebut," katanya semalam.
Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan untuk membina kemudahan asas seperti membina perparitan, membeli baja, pembajakan, membina pagar, rumah pam dan sebagainya sebelum menanam.
Sawalludin berkata kawasan itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai diusahakan kesemua 33.5 hektar tanah itu ditanam ubi vitato menjelang 2014. Beliau berkata PPNT mewujudkan ladang tersebut untuk menampung keperluan kilang memproses vitato milik PPNT bernilai kira-kira RM5 juta di Kampung Tembilai, di Besut.
Kilang tersebut dijangka memulakan operasi pada Julai depan setelah semua peralatan serta mesin pemprosesan siap di pasang.
Beliau berkata, bagi memastikan projek vitato itu memperoleh hasil yang baik dan berkualiti, PPNT menggunakan siraman secara sistem renjis di samping penggunaan baja berkualiti.
Setiap hektar kawasan itu dijangka mengeluarkan hasil 20 tan metrik sehektar bagi setiap satu pusingan tanaman hektar itu. Ia boleh ditanam dua pusingan setahun.
"Tanaman Vitato boleh mengeluarkan hasil setiap empat bulan," katanya, sambil menyatakan bahawa ubi vitato berharga RM700 satu tan metrik di pasaran.
Sawalludin berkata kawasan TKPM itu dipajak oleh Jabatan Pertanian kepada PPNT selama 20 tahun dengan kadar RM3,350 setahun dan ini menyediakan peluang pekerjaan kepada 15 orang anak tempatan sebagai pekerja tetap dan sambilan
No comments:
Post a Comment